Sunday, October 15, 2023

Her Reckless Heart (Bab 31)




BAB 31

AKU, Aidan, dan ahli keluargaku mengambil tempat di meja makan. Awal tadi, ketika aku mengajak abah dan Aidan untuk bersarapan di dapur, suara Abang Eilman memberi salam kedengaran dari luar pintu rumah. Cuak betul aku pada waktu itu. Mulalah jadi tak tahu nak buat apa.


Kemunculan abang sulungku menjadikan semua ahli keluargaku telah menemui Aidan. Abang Eilman dan Aidan siap berjabat tangan dan berkenalan untuk beberapa ketika sebelum abah menyuruh kami menjamah sarapan dahulu sebelum menyambung perbualan sesama mereka.


Aku mengambil tempat di posisi tengah antara mama dan Elisa di sebelah kiri dan kananku manakala abah di bahagian utama meja, sebagai ketua rumah. Selebihnya Aidan dan Eilman duduk menghadap diriku dan Elisa. Sempat aku mengerling seketika ke arah Aidan, dia juga membalas pandanganku sebelum aku mengalihkan pandangku ke arah hidangan yang ada di atas meja makan.


Mataku membuntang melihat makanan yang dimasak oleh mama. Ada nasi lemak, kuah sambal bilis, telur mata, telur rebus, kacang goreng dan timun, lempeng kelapa dan sandwich tuna juga tersedia di atas meja makan. Wah, all out betul mama pada pagi ini!


Persoalannya, macam mana mama boleh masak sebanyak ini sedangkan aku keluar pun sudah pukul 7 pagi? Pulang pun dalam pukul 9 lebih. Kuasa seorang mak di dapur agaknya. Sambil memasak boleh buat itu dan ini. 


“Elle? Kenapa ditenung semua makanan tu?” Tegur mama yang duduk di sebelahku.


Aku menggeleng dan berikan satu senyuman kepada mama.


Abah membacakan doa makan dan kami menadah tangan dan mengaminkan sebelum mula makan. Aku lihat Aidan mengambil nasi lemak terlebih dahulu. Aku pula mengambil sandwich tuna yang sudah siap diapit dengan roti. Rasa macam nak makan benda ringan dulu. Kalau awal sebelumnya rasa nak makan nasi lemak bungkus daun pisang, selera terus berubah ketika melihat semua ahli keluarga berkumpul menemui Aidan. Rasa gementar menguasai diri ketika ini.


Semua orang makan tanpa berbicara, semua sedang kelaparan kerana masih belum makan pada pagi ini.


Aku menundukkan wajah dan menyuap sandwich tuna. Air kopi o aku tuang ke dalam cawan dan minum tanpa mempedulikan semua orang. Fikiranku hanya tertumpu tentang penerimaan ahli keluargaku akan hubungan aku dan Aidan.


Tiba-tiba terasa sebelah kakiku dikuis. Mungkin kerana geli, badanku tersentak dan menyebabkan kakiku secara refleks naik sehingga lututku terlanggar meja.


Aku mengemam bibir, cuba mengelakkan suara berbunyi. Wajahku bertukar riak dan meringis kerana kesakitan. 


“Apa tu, Elle?” Sekali lagi mama bersuara, tidak marah tetapi ada nada hairan dari suaranya.


Aku menoleh ke arah mama, menggeleng. Masih tayang senyum biarpun sedang menahan sakit di bahagian lutut. Mata dihalakan ke arah semua orang di situ, abah memandangku. Abang Eilman pula keningnya terangkat sebelah dan Aidan… dia menggelengkan kepalanya dan ada senyuman di bibirnya.


Cis! Jatuh saham depan buah hati! 

Aku jatuhkan pandanganku ke arah pinggan dan sebelah tangan naik di wajah. Aku pusingkan badan ke arah Elisa. Mata dijegilkan, inilah orang yang menguis kakiku tadi!


Elisa menahan bibirnya dari tersenyum. Sempat dia mengucapkan maaf dari isyarat bibir.


Aku jadi malas hendak melayan lalu sambung menggigit baki sandwich tuna. Macam-macamlah adikku ini!



*****



“MALU Kak Elle tahu tak?” Aku merungut selepas semua orang selesai makan. Tinggallah aku dan Elisa yang sedang mengemas dan mencuci segala peralatan dan perkakas di dapur. Mama pula sedang membungkus makanan untuk Aidan. Untung Aidan dapat bakal mak mertua seperti mama yang sangat bermurah hati. Tapi mama memang begitu orangnya, dengan semua orang dia baik. Kalau ada yang bertandang ke rumah memang dia masak pelbagai jenis makanan.


Sorry lah Kak Elle! Kita ingat nak usik sikit je! Tak sangka pula Kak Elle terkejut teruk sampai terlanggar meja!” Wajah Elisa kelihatan serba salah tetapi ada terselit  nada seakan mahu gelak.


Tanganku naik mencubit telinganya. Terjerit Elisa sambil dia memanggil mama yang sedang mengatur lauk untuk dibungkus kepada Aidan.


Abah, Abang Eilman dan Aidan sudah berlalu ke ruang tamu semula. Men’s talk mungkin? Terfikir juga bagaimana penerimaan kedua-dua orang lelaki kesayanganku terhadap Aidan. Adakah mereka ok atau tidak bersetuju dengan pilihanku?


“Mama.” Aku mengambil duduk di depan mama.


Mama memandangku untuk seketika sebelum menyambung kerjanya.


“Aidan tu mama rasa ok ke?”


Tangan mama berhenti mencedok kuah sambal ikan bilis. Mama hulurkan senyuman kepadaku.


“Hensem betul budak Aidan tu! Terkejut mama masa awal tadi. Tak sangka anak kacukan Melayu rupanya!” Ujar mama dengan tawa, wajahnya jelas gembira.


Aku senyum. Itulah, aku pun tidak menyangka Aidan berdarah kacukan Melayu-Inggeris ketika di pertemuan awal kami. Mukanya memang asli orang Inggeris. Bercakap dengan loghat British. Cuma lama-kelamaan dia baru beritahu tentang dirinya yang sebenar.


Oh! Tak pernah pula aku bertanya kenapa dia sering berbual dalam bahasa Inggeris ketika awal perkenalan antara kami. Mungkin aku kena tanya dia nanti. Hmm…


“Mama ok kalau Elle suka dengan dia. Harapan mama cuma semoga dia terus sayang dan hargai anak perempuan mama ini kalau jodoh kamu berdua kekal.”


Aku mengangguk. Bagiku restu mama dan abah paling penting. Suka dan cinta mana pun kita terhadap seseorang tetapi ibu dan bapa tidak merestui, risau mendatangkan masalah di masa akan datang. Kecualilah terdapat mudarat kerana ibu bapa melarang kerana sebab-sebab tidak munasabah, itu cerita lain.


“Wah nanti dapat abang ipar luar negara lah kita!” Elisa menyampuk dengan sengih ala kerang busuk.


Aku ambil kain lap yang ada di meja makan dan dibaling ke arahnya.


“Ish Kak Elle ni! Kotorlah kain tu! Habis rambut kita!” Rungut Elisa, kain lap mengenai kepalanya.


Aku ketawa jahat.


Mama di depanku sekadar menggeleng, malas hendak melayan perangai kedua-dua anak perempuannya. Asyik cari pasal sesama sendiri.


“Sambung kemas dapur tu, Elisa, Elle!” Perintah mama dengan tegas.


Oops! Mem di rumah dah keluar perintah!



*****



KETIKA aku dan Aidan sedang di luar berbual di meja batu di luar rumah, baru aku perasan yang kami berdua masih berpakaian sukan, manakala ahli keluargaku berpakaian secara kasual. 


Sangatlah under dressed untuk pertemuan kali pertama yang tidak rasmi ini!


Aidan selamba saja berkata dia okey. Biarlah dia dilihat di mata ahli keluargaku sebagai seorang yang biasa tanpa pakaian sut dan kasut kulit yang dia sering tonjolkan ketika dia di waktu kerja atau di hari biasa.


“Kenapa awak tak tolak je pemberian mama tu?” Sengaja aku bertanya, kerana awal tadi Aidan bersetuju bila mama mahu memberikan makanan kepadanya untuk dibawa pulang ke rumah.


“Biarlah dear. Lagipun saya penat makan dekat luar dan pesan melalui app penghantaran makanan.”


Home cooked is better, right?” Tekaku.


Of course! Rindu pula dengan masakan mummy saya. Kalau mummy ada dekat Malaysia, saya nak bawa awak jumpa dia.”


Lembut saja pandangan di mata Aidan ketika menyebut tentang mummynya.


“In Shaa Allah. Nanti kalau ada peluang, saya akan jumpa mummy awak pula.” Teringin juga aku untuk mengenali mummy Aidan. Dari cerita Aidan, mummynya sangat penyayang terhadap dia dan adik perempuannya.


Tetapi risau juga kalau mummy Aidan tidak suka kepadaku. 


Mummy will like you. Saya serius. Mummy jenis yang mesra dengan semua orang, dia tidak akan menilai hanya dari latar belakang dan rupa paras seseorang itu, kecuali orang-orang yang sengaja cari pasal dan buat mummy tak sukakan mereka.”


Aku mengangguk, cuba menghadam kata-kata Aidan. Aku berdoa jika diberikan kesempatan untuk menemui mummy Aidan, wanita itu akan menerima diriku dengan baik walau aku ini tidaklah baik mana.


“Mummy awak selalu datang Malaysia?” 


“Beberapa tahun ni kerap juga mummy datang sini jumpa daddy. Adelia dah masuk ke universiti dan saya pun dah duduk dan bekerja di London. Kadang-kadang dia datang jenguk saya di London kalau dia tak sibuk.” Terang Aidan.


Aku menjadi pendengar, tidak mahu memecahkan suasana ketika ini. Biarlah aku mendengar Aidan bercakap pula. Selalunya aku yang akan bercakap dan Aidan akan membalas selain menjadi pendengar.

  “Dengan Dato’ Syed Arman, macam mana hubungan awak dengan daddy awak?”

Aidan memalingkan wajahnya ke arah lain. 

Complicated, there is love but hate at the same time.” Itu sahaja jawapan yang keluar daripadanya. Wajahnya tidak beriak, mendatar saja.

Aku langsung tidak menyampuk ketika Aidan sedang bercakap. Dan masing-masing terdiam selepas itu.

“Kak Elle! Mama panggil!” Laung Elle dari muka pintu rumah, mungkin mama ingin menyerahkan bekas makanan kepada Aidan.

Aku bangun dan mengajak Aidan masuk ke dalam rumah sebentar. Mama, abah dan Abang Eilman sedang berehat di ruang tamu. Wajah mama ceria melihat aku dan Aidan berjalan beriringan ke ruang tamu. Elisa pula mengekori kami di belakang.

“Ini auntie dah siapkan makanan untuk kamu bawa balik.” Mama menunjukkan ke arah beg plastik berisi bekas makanan.

Thank you, auntie, macam menyusahkan pula.” Mendengarkan kata-katanya itu, serentak mataku mengecil. Amboi, ayat dia! Memang tunjuk baik depan mama ni! Seperti dia tahu aku sedang mengata tentang dirinya, Aidan hadiahkan senyuman paling menawan kepadaku.

Rasa macam nak cair pada masa itu juga! Pandai Aidan menggunakan taktik itu, sudahlah dia mempunyai lesung pipit di kedua belah pipinya. Sungguh menawan hatiku!

Abah, Aidan dan Abang Eilman berbual lagi dan mama menyampuk apabila perlu. Aku dan Elisa pula sekadar menjadi pemerhati. Suka aku melihat Aidan dan ahli keluargaku yang lain berbual dengan wajah masing-masing nampak santai.

Aidan meminta diri untuk pulang ketika waktu sudah menghampiri waktu tengahari.

Thanks for today, dear. See you later.” Aidan mengucapkannya dengan mengerdipkan sebelah matanya sebelum memandu keretanya pergi.

Jantungku berdegup laju, perasaan indah menyelinap di dalam diriku ketika ini.

“Sudahlah Kak Elle, nanti-nanti jumpa lagi! Panas rembang ni, nanti sunburn pulak!” Tegur Elisa dengan nada mengusik.

Aku berpaling dan melihat Elisa bersama Abang Eilman sedang berdiri di luar pintu utama rumah kami.

“Hisy!” Aku mendengus dan melangkah untuk masuk ke rumah.

“Patutlah Elle mesej Abang Man dekat WhatsApp semalam, rupanya dah ada boyfriend baru!”

“Abang Eilman!” Segan kerana dibahan oleh abang sendiri, aku menjerit tapi dikawal suaraku agar tidak didengar oleh mama dan abah di dalam rumah.

“Buat apa nak malu? Dah jumpa mama dengan abah kan?” Masih tidak mahu mengalah, Abang Eilman terus mengusikku.

Elisa pula bantai gelak. Sukalah dia tu!

Aku buat pekak dan terus naik ke tingkat atas untuk melarikan diri. Makin aku biar, makin bertambah-tambah jadinya! Rupanya abang sendiri pun ada bakat suka mengenakan diri sendiri selain adik perempuanku, Elisa. Ingatkan jenis diam dan suka menjadi pemerhati saja! 

*****


“ELLE NADIRAH BINTI AZMI!”

“Waalaikumsalam, Raisya Ameena binti Muhd. Raizil.” Aku membalas dengan sindiran. Baru saja aku menjawab panggilan daripada dia, terus dia memanggil nama penuh siap berbintikan nama abah lagi.

“Ya, assalamualaikum! Apa cerita Cik Elle kita ni?” Biar disindir, Meena tetap membuat seperti tiada apa.

“Tak ada apa? Kenapa?” Adakah Meena mahu bertanya tentang diriku? Atau status percintaan aku?

“Kau punya IG story dengan status WhatsApp? Apa cerita? Hello?”

Aku ketawa. Meena ini memang matanya laju saja menangkap maksud di sebalik kirimanku di media sosial.

Usai solat zohor aku merebahkan badan di katil. Aidan pulang dan kami berjanji untuk berjumpa bila aku tidak sibuk. Baru teringat yang minggu akan datang team kami akan ke syarikat klien untuk demonstrasi projek laman web. Sebelum ini kami berbincang mengenai projek tersebut secara atas talian, kali ini pertemuan secara bersemuka antara dua pihak akan berlangsung.

“Aik? Gelak je ke? Bagi statement please!” Gaya macam sedang ditemu ramah oleh pihak wartawan pula! Meena ini memanglah! Perisik tidak berbayar dan tukang gosip tidak rasmi!

“Doakan kami, sedang dalam fasa baru.” Ayat berbaur klise aku balas. Acah betul!

“Choii! Alhamdulillah, setelah berbulan kau berteka-teki kan? Aku doakan yang baik-baik untuk kau dengan si dia!” 

Aku mengaminkan doa sahabat baikku itu.

Aku menceritakan bagaimana pagi tadi aku dan Aidan sekadar keluar untuk berjogging dan berakhir dengan pertemuan secara tidak rasmi bersama ahli keluargaku.

Oh my! From zero to real quick! Lelaki sejati betul bakal imam kau ni, Elle!”

“Tak sangka tau! Berdebar, takut dan segala-galanya masa mama dan abah jumpa Aidan! Abang Eilman pun ada!”

Bercakap tentang abang sulungku itu, tadi dia tidak berkata apa cuma ada senyum-senyum ke arahku apabila dia melihat aku bergandingan di sebelah Aidan. Paling teruk pun kena bahan dengan dia. Abang Eilman jenis tidak berlebihan dalam mengenakan adik-adiknya.

“Kau pula macam mana, Meena? Ada jumpa jodoh?” Tanyaku dengan ingin tahu.

“Terjumpa jodoh tapi aku yang bodoh!”

“Hah?” Aku jadi blur.

“Bayangkan eh, aku pergi hiking dengan Amanda, adik aku tu. Then masa nak turun tu aku terjatuh siap terseliuh lagi! Malu bercampur sakit masa tu! The so-called jodoh tu tolong aku dengan Amanda. Dia bawa pergi klinik sebab Manda masih tak cekap drive.”

Melopong aku mendengarnya, banyak benda terjadi rupanya sejak aku tidak dengar khabar dari Meena! 

“Sekarang ni kau okey ke tak? Pergi kerja macam mana? Kau ambil nombor dia tak?”

“Aku dapat MC dua hari. Kami tukar nombor phone tapi dia just tanya pasal keadaan aku lepas terseliuh itu je.”

“Tak mengapalah, Meena. Mungkin bukan masanya untuk kau kenal dengan dia.” Aku cuba memujuk Meena.

Meena mengiakan biarpun suaranya kedengaran kecewa. Kami berbual hampir sejam sebelum aku berpamitan kerana mahu berehat. Tamat perbualan antara aku dan Meena, aku meletakkan telefon pintarku di tepi meja kecil dan sebelah tangan menepuk bantal untuk baring semula.

Baru saja mata hendak dilelapkan, bunyi mesej WhatsApp bertubi-tubi masuk. Oh rupanya aku terlupa tutup Wi-Fi di peranti tersebut. Hmm, rasanya mesti mesej-mesej tersebut datang dari group aku bersama rakan sekerjaku. Firasatku mengatakan bahawa ia mengenai kiriman aku hantar pada pagi tadi atau perkara lain.

Tak mengapalah, nanti saja aku balas. Mata pun sudah tidak berdaya nak dibuka. Sejak habis subuh pagi aku tidak sambung tidur, maka waktu selepas tengahari ini aku mahu tidur sebentar. 

Biar Tuan Puteri beradu dulu, tidur diutamakan baru kamu!


__________________________________

Author's Notes:
New chapter updated! Harap semua tak jemu baca bab terbaru ni!
Untuk dua hari ni, saya rajin update sebab phone tengah problem haha, jadinya masa yang ada ni dimanfaatkan dengan menulis 😂
Enjoy reading! Komen dan vote kalau sudi! 💓
Kalau nak share dekat kawan-kawan readers lain pun ok hehe.
Happy weekend! xoxo, linaellenia


No comments: