Monday, September 11, 2023

Her Reckless Heart (Bab 28)




BAB 28

HABIS waktu kerja, aku memandu pulang ke rumah seperti kebiasaan. Dalam aku cuba fokus terhadap pemanduan, kejadian yang berlaku beberapa jam sebelum ini menerpa semula dalam ingatanku. Sejujurnya aku rasa sedikit terganggu. Panggilan dari Eddie yang menggunakan nombor lain membuatkan aku terfikir. Kenapa sekarang? Kenapa dia perlu menyamar dan buat aku fikir nombor yang sering naik di senarai pemanggil itu scammer?


Rupanya Eddie itu si scammer yang mengangguku!


Baru hari ini dia berani bersuara. Aku langsung tidak terfikir bahawa Eddie mempunyai idea sebegitu. Memang patut pun aku sekat nombor kepunyaan Eddie yang terkini. 


Nombor lamanya pun aku dah sekat, awal-awal lagi selepas kami baru putus. Buat apa nak simpan nombor orang yang dah sakitkan hati kita. Kini dia cuba menghubungiku dengan nombor lain pula.


Dahlah dia menghantar jambangan bunga ke pejabat, seolah peristiwa dia memutuskan untuk berpisah dengan aku pada beberapa bulan yang dulu seolah tak pernah berlaku. Eloklah aku buang pemberian darinya. Secara tak sengaja, ada rasa geram terbit di hatiku. Kalaulah aku terjumpa dia, silap-silap ada yang merasa penumbuk sulung dariku. Huh!


Kedua belah tangan yang sedang memegang stereng, tergenggam seolah membentuk penumbuk. Kemudian aku gelengkan kepala sebelum perlahan-lahan aku tarik nafas untuk cuba bertenang. Dahlah tengah drive, karang tak pasal terbabas atau terlanggar kenderaan lain pula kalau ikut perasaan sangat. Kenderaan di atas jalan pun banyak kerana sekarang sudah masuk waktu puncak.


Lagu yang sedang dimainkan di radio, aku tekan butang volume dengan harapan dapat mengusir nama dan bayang Eddie dari fikiranku. Kita dah tak sudi, buat apa nak dikenang? Lagipun hatiku sudah terisi dengan nama orang lain. 


Syed Aidan Rifqi aka Aidan Harisson. 


Tak sangka hari ini juga Aidan menceritakan hal sebenar tentang dirinya dan hubungan yang merumitkan antara Dato’ Syed Arman dan Syed Hazriq Arryan, adik berlainan ibu. Aku tak tahu nak membayangkan bagaimana Aidan membesar dengan keluarga yang sebegitu.


Dalam masa yang sama aku bersyukur kerana Aidan sudi bercerita denganku. Kata kawan istimewa kan? Pastilah aku dianggap penting oleh dia. Ahh, macam syok sendiri pulak lama-kelamaan. Aduhai.


*****



KELIHATAN abah sedang duduk di luar rumah bersama mama di sebuah meja dan kerusi dikhaskan sebagai tempat kami bersantai. Gambaran itu membuatkan aku tersenyum. Sweet couple betul tengok mama dan abahku ini. Ia membuatkan aku terbayangkan jika aku sudah menemui pasangan, mungkinkah aku akan dapat kebahagiaan seperti ini?


Enjin kereta dimatikan dan beg tangan serta beg laptop dicapai untuk keluar dari kereta. Ketika aku sedang melangkah untuk masuk ke dalam rumah, kelihatan mama melambaikan tangan dan memanggil namaku.


Setelah meletakkan barang kepunyaanku ke dalam rumah, aku keluar semula menuju ke arah mama dan abah. Tak dilupakan telefon pintarku, benda yang tak boleh aku tinggal kalau ke mana-mana.


“Ni mama ada buat cucur bawang. Yang tinggal ni untuk Elle.” Mama berkata lalu menolak pinggan berisi cucur bawang. 


Aku mengangguk dan mencuci tangan di paip air yang terdapat di sekitar laman rumah. Perut kembali berbunyi setelah melihat cucur yang digoreng oleh mama. Takkan nak tolak kot?


“Rajin mama dengan abah lepak dekat luar,” Komenku setelah menyuap seketul cucur ke dalam mulut.


“Tadi teman abah berkebun, itu kami lepak di luar terus.” Balas mama dengan senyuman dan matanya dilirikkan ke arah abah yang sekadar menjadi pemerhati.


Sejak abah bersara, selain menghabiskan masa di surau atau masjid dan bertemu dengan kawan-kawannya, dia juga mengusahakan tanaman di laman rumah kami. Mama pula suka menanam pokok bunga, berbeza dengan abah yang suka menanam buah dan sayuran. Bagi abah, tanam benda yang boleh dimakan lagi berfaedah.


Aku dan Elisa? Kami mampu tolong siram pokok kalau rajin. Nak menanam? Silap-silap tak naik pula pokok yang ditanam. Kalau Abang Eilman? Dia pun dua kali lima dengan adik-adiknya. Hahaha.


“Comel betul cucu Kak Erma,” Mama menunjukkan sesuatu di telefon kepunyaannya ke arah abah di sebelah. 


Aku lihat abah mengangguk, pendengar setia mama. Aku juga menjadi pendengar sambil menyambung suapan cucur bawang. Sempat aku ambil gambar cucur tersebut dan hantar kepada Aidan.


Tak sampai seminit, Aidan balas.


Aidan: Nampak sedap, nak belanja saya ke?


Aku tersenyum ketika membaca kiriman darinya. 


Elle: Tak adalah! Saja nak show off dekat awak 😛


Aidan: Sampai hati! Awak buat saya craving 🙂


Senyuman semakin melebar. Aku terus membalas ayat seterusnya.


Elle: Nanti bila-bila saya akan buatkan untuk awak, ok? 😉


Aidan: Sure, saya akan tuntut janji awak 😄


“Tersengih tengok apa tu?” Teguran dari mama membuatkan bahuku terangkat, menandakan aku tersentak.


Aku angkat wajah dan sengih kepada mama. Telefon diletakkan semula ke meja. “Elle mesej dengan kawan tadi,”


“Kawan ke boyfriend?” Mama senyum ke arahku, wajahnya penuh tanda tanya.


Aku diam dan buat tak tahu dengan soalan cepu cemas dari mama. Tangan saja yang bergerak mencapai makanan di atas meja.


“Mak long Erma dah timang cucu ketiga. Agaknya bilalah mama dengan abah nak timang cucu ya?” 


Keluhan berbaur pertanyaan dari mama itu membuatkan sebelah keningku ternaik. Aku halakan pandangan ke arah abah dan abah tengok aku semula.


“Entahlah, cuba mama tanya Abang Man.” Aku petik nama abangku lalu cawan berisi air teh o yang sudah suam diteguk perlahan. 


“Elle dengan adik pun boleh bagi mama cucu, takkan nak harapkan Abang Man kamu tu je,” tambah mama dengan senyuman manis, matanya dikerdipkan.


Uhukk! 


Aku tersedak, tak menyangka mama bersikap seperti ini pada waktu petang. Ini nasib Elisa pun tak ada di sini, kalau tidak mesti kecoh kerana adikku itu jenis suka berlebihan dalam memberi reaksi.


“Mama silap makan ubat ke, bah?” Soalku dengan lurus kepada abah.


“Elle Nadirah!” Ternaik satu oktaf suara mama. Wajah mama seakan ingin marah. Kemudian mama mengeluh lagi dan memandang ke arah abah.


“Mama teringin cucu.” Pendek abah memberi rumusan. 


Aku membetulkan suara, rasa macam nak tersedak lagilah. Pelik topik pada petang ini. Bukan ke baru dua hari lepas mama menangis tak mahu lihat anak-anaknya berumahtangga? Ini apa kesnya?


“Mama dengan abah dah nak masuk usia senja dah, Elle. Tiba-tiba tengok Mak long kamu update dalam group keluarga, rasa jealous pulak,” terang mama tanpa sembunyi.


Aku mengangguk. Mama dan kakaknya, mak long Erma memang rapat dan kami siap ada group WhatsApp keluarga belah mama. Mungkin update dari mak long membuatkan mama berkeinginan untuk mempunyai cucu. Sindrom mak-mak bila anak-anak dah dewasa dan masih membujang.


“Kalau Abang Man ke Elle dah ada calon, bawa je jumpa dengan kami.” 


Kata-kata mama itu membuatkan aku menganga. Sebab tak sangka mama terus straight to the point tanpa belok-belok. Spontan tanganku menggaru kepala yang tidak gatal. Abah pula langsung tak berbunyi.


“Abah pun teringin cucu macam mama ke?” 


Abah tersenyum kecil. Tidak mengiakan atau menafikan, neutral. 


Cis! Dua kali lima saja dengan mama!


Terus tanganku tadi beralih dan memicit kedua belah pelipis. Boleh melarat kalau dibiarkan. Kena beritahu dekat abang sulungku, nak cari jalan penyelesaian!



*****


AKU MENCERITAKAN hal petang tadi kepada abangku, Eilman melalui WhatsApp. Reaksi dia? Abang Eilman memberi emoji gelak dengan panjang sehingga aku berasa jengkel dengan sikapnya itu.


Namun selepas itu Abang Eilman memberikan satu mesej yang mengatakan, ‘kalau ada jodoh, adalah tu.’ 


Oh, adakah abangku yang seorang itu sudah berteman? Atau memang dah ada seseorang tapi merahsiakan terlebih dulu? Wow.


Elle: Cepat-cepatlah bawa gf abang ke rumah jumpa family kita! 😜 


Eilman: Elle pun dah boleh ajak boyfriend jumpa mama dan abah 😌


Dadaku terus bergetar setelah membaca mesej dari Abang Eilman.


Elle: Boyfriend? Who?


Eilman: Kura-kura dalam perahu, pura-pura tak tahu pulak. 😏


Elle: ?


Eilman: Bukan Abang Man tak tahu adik abang ni pergi date dengan bf baru 😌


Aku terus tak jawab, konon malas nak melayan abang sendiri merapu. Tapi pada hakikatnya jantung sendiri macam nak tercabut. Tahu pula abangku itu aku keluar bersama siapa pada hari minggu baru ini. Adakah abangku sempat skodeng semasa aku keluar hari itu? Serentak aku rasa macam dah kantoi tapi dalam skala kecil. Itu belum campur dengan usikan daripada Elisa sebelum ini.


Aku dan Aidan, masih dalam hubungan kawan istimewa. Meskipun aku tak menolak jika kami akan ke arah yang seterusnya, ada rasa kerisauan jika aku sekadar bertepuk sebelah tangan. Takkan aku nak beritahu yang ibu bapa aku teringin cucu dan minta Aidan datang berkenalan dengan keluargaku secara tiba-tiba kan?


Aku gelak dengan rasa gelisah bercampur pada ketika ini.


Aidan akan tinggal di sini untuk tempoh masa yang sekejap saja. Kalaulah hubungan kami akan ke peringkat lain, mampukah hubungan jarak jauh akan bertahan? Tiba-tiba rasa nak overthinking walaupun perkara itu belum pasti.


Siling bilik tidur aku pandang dengan pandangan kosong. Dalam fikiranku pelbagai andaian sedang berlegar-legar. Restu ibu bapa paling utama dalam kebahagiaan seorang anak. Kalau Aidan dan aku bersama, bagaimana dengan kedua belah pihak keluarga kami?


Ada mesej masuk dari WhatsApp.


Aidan: Sweet dreams, my dear Elle. Assalamualaikum.


Wajahku menghangat usai membaca mesej darinya. Ringkas tapi manis.


Elle: Waalaikumsalam, good night. See you when I see you.


Aidan: No sweet dreams for me?


Elle: Sleep tight, Syed Aidan Rifqi, xo.


Aidan: Oh, sekarang main nama penuh ya? 😯


Elle: Hahaha!😝


*****


HARI-HARI yang berikutnya aku jalani dengan rasa indah dan berbunga-bunga. Aku dan Aidan seperti biasa berbual di telefon sama ada melalui WhatsApp dan mesej atau melalui panggilan telefon.


Di hari Sabtu, selepas waktu subuh aku menerima panggilan telefon daripada Aidan. Aku yang baru saja membuat aksi kuak lentang di atas katil terbangun setelah mendapat panggilan daripada dia.


“Jom keluar teman saya jogging.” Sebaik saja salam diucapkan, Aidan mengeluarkan ayat itu.


Aku diam. Jogging? Lemah betul dengar perkataan ini. Dalam setahun berapa kali je aku jogging, boleh dikira dengan jari. Selebihnya banyak menghabiskan masa di rumah. Bersenam dengan cara melakukan kerja rumah. Betul-betul jenis homebody. 


“Elle? Masih tidur ke?” Suara Aidan membuatkan aku kembali fokus.


“Sekarang ke?” Aku lihat jam dinding dalam bilik tidur. Lagi 10 minit nak masuk ke pukul 7 pagi. Selalunya lepas menunaikan kewajipan sebagai muslim, aku akan berlayar ke dunia mimpi dan akan bangun semula sejam kemudian untuk membantu mama memasak sarapan di dapur kalau kami tidak keluar sarapan di luar.


“Pukul 7 nanti saya jemput,”


“Eh?! Aidan, saya boleh pergi sendiri. Just give me your location.” Aku terketar-ketir setelah mendengar dia hendak mengambil aku dari rumah.


It’s okay, lagi senang naik satu kereta.” Mudah Aidan memberi alasan secara logik.


Tapi aku yang tak tentu arah. Pagi-pagi ini ada mama dan abah jadi aku risau nak bersoal jawab dengan kedua-keduanya.


No buts, pukul 7 tepat saya datang. See you, dear!” 


Panggilan ditamatkan dan untuk seminit dua aku terkaku sambil memegang telefon yang sudah malap skrinnya. Setelah tersedar aku terus mencari pakaian untuk aktiviti bersukan. Dalam hati, aku mengomel dengan sikap Aidan yang memaksa, tapi tak pula aku nak membantah… Ish, kau ni Elle.


Habis waktu tidur yang aku impikan pada pagi usai subuh ini. Nak kena teman si dia pergi jogging. Huwaa…



Author's Notes:

Hi semua! Finally bab baru Her Reckless mendarat! Maaf kepada yang menunggu. Sebenarnya sejak bulan lepas bab ni dah ada dalam draf tapi saya tak dapat nak update, banyak halangan dalam kehidupan realiti haha. If only I have more time to write and update more /sigh/ 🙂

Enjoy reading! See you on next update (tak tahu bila...).


No comments: