BAB 27
KAMI sampai di sebuah restoran cina muslim yang terletak di ibu kota. Sempat aku bertanya dari mana dia dapat tahu mengenai restoran ini. Manalah tahu kalau ada kawannya yang memberi cadangan untuk dia datang ke sini.
“Senang saja. I just googled it,” jawab Aidan dengan selamba.
Aku gelak dan mengangguk selepas itu. Ah betul juga, zaman sekarang segalanya di hujung jari. Buka saja pelayar di dalam telefon, kita boleh cari pelbagai maklumat dengan cepat. Tak mustahil untuk Aidan mendapat maklumat mengenai tempat ini dari hasil pencariannya di internet.
Seperti biasa, Aidan membukakan pintu kereta untukku, sangat budiman kan? Aku dan Aidan berjalan beriringan untuk ke restoran tersebut. Masuk di perkarangan restoran itu aku lihat ramai pelanggan sedang menjamu selera. Rata-ratanya adalah orang yang bekerja di pejabat berdasarkan gaya pemakaian mereka.
Kami memilih tempat duduk dan menunggu pelayan menghantar buku menu.
“Awak ada kerja ke harini?” Ringan saja mulutku bertanya. Melihatkan Aidan berpakaian sedikit formal jadi ada rasa ingin tahu dalam diriku.
“Sebenarnya saya ada perjumpaan dengan satu firma guaman di sini,” Aidan memberitahuku tanpa berselindung.
Aku menggangguk.
“Awak nak tahu ke firma yang mana satu?” Aidan seolah cuba memancingku.
Aku pandang dia dengan rasa pelik. “Do I need to know?”
Aidan memberi satu senyuman yang bagiku misteri.
Belum sempat aku hendak mendengar jawapan darinya, seorang pelayan lelaki datang dan meletakkan buku menu di meja kami. Kemudian dia menunggu di situ.
“Lagi lima minit boleh ke?” Ujarku kepada pelayan itu. Kalau boleh aku nak tengok dahulu senarai makanan dan minuman yang ada di restoran ini. Nak pilih menu pun perlukan masa.
Pelayan itu beredar dan aku membelek buku menu tersebut. Namun fikiranku masih tertumpu kepada soalan yang Aidan berikan tadi.
“Kita makan dulu, nanti saya akan jawab.” Sepertinya dia tahu akan apa yang sedang berada di dalam fikiranku, Aidan cuba memujukku dengan memilih makanan dahulu.
Aku mengangkat wajahku dan menjeling Aidan di hadapanku. “Awak yang mulakan…”
Aidan ketawa dan menjungkitkan kedua belah bahunya.
“My fault, dear. I promise you, I will tell you later. Saya lapar ni,”
Aku seakan terpujuk lalu aku memilih makanan dan minuman yang tersenarai di dalam menu. Lima minit berlalu dan pelayan lelaki itu datang kembali untuk mengambil pesan dari kami berdua.
Kami memilih mee tarik sebagai menu utama berserta satu set dari menu sampingan dan minuman.
Aidan memandangku dengan satu pandangan yang bagiku penuh makna. Aku mengerdipkan mataku. Masing-masing saling berpandangan.
“Make up saya comot ke?” Aku sentuh mukaku. Manalah tahu foundation dekat muka dah cair ke apa.
Aidan menggeleng lalu senyum.
“Kita baru saja sehari dua tak berjumpa, tapi rasa rindu tu banyak.” ujar Aidan dengan keluhan.
Aku hampir ternganga setelah mendengar kata-katanya itu.
“Ayat romeo mana awak curi ni? Risau saya dengar…” Soalku dengan nada seakan mahu mengusiknya.
“Romeo mana?” Dahi Aidan berkerut.
Sebelah tanganku naik memegang dahiku sendiri. Lupa yang Aidan pun tak faham sesetengah ayat yang biasa dituturkan oleh orang tempatan. Walaupun dia seorang jejaka berdarah campuran, pastilah akan ada sedikit jurang kerana aku rasa dia tak biasa bergaul dengan komuniti Melayu di England memandangkan dia membesar dengan keluarganya yang berbangsa Inggeris.
Aku menerangkan mengenai maksud ayat romeo yang biasa digunakan dalam masyarakat Melayu. Aidan mengangguk sebelum dia ketawa.
“Seperti Don Juan, Romeo pun tergolong dalam golongan yang selalu berkata manis lah ya?” Aidan membuat rumusan hasil dari peneranganku yang awal tadi.
“Ya, jadi awak ni bermulut manis dengan saya ni ada apa-apa ke?” Sengaja aku menduga Aidan.
Aidan menggeleng dan dia kerling wajahku ketika itu. “Saja nak main-mainkan saya ke, dear?”
Aku sengih lalu tergelak besar. Seronok juga mengusik jejaka berdarah campuran ini.
“Nakal dear saya ni, nasib kita bukan mahram. Kalau tak…” Aidan tidak menghabiskan ayatnya.
“Kalau tak apa?”
“Kalau tak saya nak saja cuit hidung comel awak tu!” Balasnya sebelum ketawa.
Aku sentuh hidungku sebelum menjegilkan mataku ke arah Aidan. Ini kali kedua Aidan menyebut tentang ingin mencuit hidungku. Sudahlah hidungku tak berapa nak mancung, nanti tak pasal jadi mangsa cuitannya pula. Tapi nasiblah juga kami bukan mahram seperti yang Aidan katakan.
Tapi…kalau dah sah dan halal? Adakah hidungku akan selamat dari cuitan tangan Aidan? Aku perhatikan kedua belah tangan milik Aidan. Nampak gagah dan sangat menggoda. Kemudian cepat-cepat aku melarikan pandanganku ke arah lain. Wajahku menghangat dengan tiba-tiba.
“Pandang apa tu, dear?” Tanya Aidan setelah melihat aku mendiamkan diri.
Aku pandang dia semula dan kepala digelengkan. Satu senyuman yang paling menawan aku hadiahkan kepada Aidan.
Takkan aku nak jawab yang aku suka melihat tangan milik dia? Nanti kena cop gatal dengan dia pula!
*****
SELESAI menjamu selera, kami berbual untuk seketika sebelum bergerak pulang. Kali ini aku tidak menolak apabila Aidan membuat bayaran di kaunter. Kalau asyik bergaduh bab bayaran ni, nanti Aidan rasa aku mengada-ada pula. Jadi aku biarkan saja. Kami masuk ke dalam kereta kepunyaan Aidan dan dia terus menghidupkan enjin dan memandu meninggalkan kawasan restoran tadi.
“Aidan, ceritalah pasal firma yang awak sebut tadi tu.” Rasa ingin tahuku semakin membuak.
Pandai dia memancingku, jadi haruslah dia memberikan jawapan. Sejak tadi di restoran memang aku tahan saja kerana kami berada di restoran dan ingin menjamu selera.
“Firma yang saya bekerja memang ada kerjasama dengan salah satu firma guaman di sini.
Aku mengangguk dan memasang telinga untuk mendengar.
“Tahu tentang Syed and Associates?” Tanya Aidan kepadaku.
Setelah mendengarkan nama firma tersebut, terus mataku membulat. Aku pandang Aidan di sebelah. Aidan pandang ke arahku sekilas sebelum kembali menghadap ke arah jalan.
“Firma tu! Syarikat saya sedang ada projek dengan firma tu,” Laju saja aku beritahu dia.
Aidan mengangguk, sedia maklum akan hal itu, aku rasa mungkin kerana dia teringat pertemuan antara kami berdua bersama Caroline dan suaminya, Syed Hazriq.
“Well, today’s meeting is not a formal one. It was for myself as one of the heirs in that firm.” terang Aidan dengan nada tenang.
Apa? Pewaris? Pewaris firma Syed and Associates?
Terlopong aku dibuatnya.
Aku silap dengar ke? Sekali lagi aku pandang ke arahnya. Melihatkan dari wajah Aidan yang bertukar serius membuatkan dadaku bergetar. Dalam fikiran, aku cuba mengaitkan hubungan antara Aidan, Syed Hazriq dan Dato’ Syed Arman.
“Ja-jadi…awak ada kaitan dengan Dato’ Syed Arman?” Adakah seperti apa yang aku sedang fikirkan?
Aidan mengangguk, riak serius di wajahnya masih tidak pudar.
“Awak dan Syed Hazriq…” Aku tak mampu hendak meneruskan ayat yang seterusnya.
“Half siblings…unfortunately,” suara Aidan seakan
Setelah itu, aku terus menyandarkan badanku ke kerusi bahagian penumpang.
“Wow…” Itu saja yang mampu aku lontarkan.
Tanpa disedari aku mendapat tahu tentang rahsia terbesar mengenai Aidan dan dua individu yang aku kenali kerana projek yang sedang diusahakan syarikat tempat aku bekerja.
“Dato’ Syed Arman adalah bapa kandung yang awak ceritakan sebelum ini?”
Aidan mengangguk.
“Dan Syed Hazriq adalah adik berlainan ibu?”
Aidan tetap mengangguk. Aku lihat Aidan menghela nafas dengan panjang. Kemudian dia kembali memandang ke arahku untuk beberapa ketika.
“This is my biggest revelation for you, my dear. I want to share it with you.”
“Apa sebabnya?” Soalku.
“Sebab awak kawan istimewa saya. Tak mustahil satu hari nanti kita akan berjumpa dengan mereka berdua sebagai pasangan.” Mendengarkan perkataan pasangan keluar dari bibir Aidan membuatkan aku tersipu sebentar. Tapi aku tidak memberikan komen, sekadar menjadi pedengar.
“Shocking, right? Tapi itu adalah perkara yang saya ingin kongsikan dengan awak. Supaya awak bersedia untuk hadap keluarga saya yang complicated ini.” sambung Aidan dengan senyuman yang sinis.
Aku terdiam.
Rupanya dunia ini kecil, pusing sana dan sini rupanya Aidan dan Syed Hazriq saling berkaitan. Ikatan yang bermula kerana bapa mereka, Dato’ Syed Arman. Sekarang aku pun tak tahu nak beri reaksi apa. Bapa mereka merupakan klien syarikatku dan aku mungkin akan bertemu dengan mereka sebagai kawan istimewa Aidan di suatu masa, jika diizinkan oleh-Nya.
Eh belum apa-apa dah fikir ke arah itu ya, Elle? Hatiku berbisik.
Aku menarik nafas, cuba menenangkan diri sendiri. Sungguh aku tak sangka. Tak terjangka kerana Aidan tak banyak bercerita tentang keluarganya kecuali tentang ibu dan adik perempuannya. Baru saja aku dikejutkan dengan cerita mengenai siapakah Aidan dan statusnya sebagai seorang jejaka berdarah campuran, kini aku didengarkan pula tentang hubungan dirinya dengan dua individu tersebut.
“Jadi, Aidan Harrison tu nama sebenar awak atau nama palsu?” Aku ingin tahu. Sebelum ini memang dia perkenalkan dirinya sebagai Aidan Harrison.
“Dear, it’s my real name, cuma nama Harrison itu dari nama keluarga mummy saya. Saya dah terbiasa guna nama Aidan Harrison dari dulu,” Aidan menjelaskan nama yang digunakan olehnya
“Dan, nama penuh saya ialah Syed Aidan Rifqi bin Syed Arman.” tambahnya.
Syed Aidan Rifqi…aku sebut nama penuhnya di dalam hati.
“Selamat berkenalan Syed Aidan Rifqi, saya Elle Nadirah.” Untuk meredakan situasi sekarang, aku cuba membuat lawak.
Terletus tawa dari Aidan.
“Selamat berkenalan, my dear Elle. Boleh saya panggil awak dear?” Satu kenyitan diberikan oleh Aidan kepadaku selepas itu.
******
“PERGI dating ke masa lunch tadi?” Satu suara menegurku ketika aku baru saja keluar dari surau di pejabat. Aku lihat di hadapanku dan mendapati Dilla sedang tersengih dan Hani pula melambaikan tangannya ke arahku.
Aku tunjuk senyum dan tidak memberikan sebarang komen.
“Eleh senyum-senyum pulak!” Dilla menyinggung lenganku secara perlahan.
“Kepochi lah kau ni, Dilla!” Muncul pula Kamelia dari arah tandas yang tidak jauh dari surau pejabat.
“Alaa, aku nak tahu lah. Elle ni jenis perahsia betul! Susah nak korek love life dia ni!” Dilla memuncungkan bibirnya sambil mengomel tentang perangaiku yang satu itu.
Hani di sebelahnya sekadar menjadi pemerhati, tapi matanya melirik ke arahku berserta satu persoalan dari riak di wajahnya.
“Tak confirm lagi lah. Dalam fasa perkenalan,” Selamba aku jawab sebagai jawapan untuk selamatkan diri. Kalau aku masih berdiam mungkin Dilla akan bertanya, dan mungkin juga dia akan cuba korek dari sahabat baikku, Meena yang sudah geng dengannya.
“Oh my! Nanti makan nasi minyak lah kita!” Dilla berkata dengan teruja, kedua belah tangannya ditepuk.
Kamelia dan Hani terus tergeleng melihatkan keterujaan Dilla itu.
“Nasi minyak kenduri aku hari tu tak cukup ke?” Sindir Kamelia yang sejak tadi diam.
“Eh itu lain, ini kenduri si Elle ni…” Dilla kelihatan serius ketika menjawab.
“Nanti kenduri Hani, makan nasi minyak dia pulak…” sambung Dilla, ayat dia ini macam orang lurus saja.
Aku dan Kamelia menepuk dahi manakala Hani sudah menumbuk bahu Dilla. Dilla mengaduh kesakitan dan cuba hendak membalas kepada Hani semula.
“Sudahlah korang. Jom sambung kerja balik!” Kamelia terus memaut lengan Dilla dan menarik wanita itu untuk ke department mereka semula.
“Alaa, kau ni kan…” Kedengaran Dilla bersuara tanda mahu memprotes.
Aku dan Hani saling berpandangan sebelum kami masing-masing tergelak.
“Dalam diam ya, Elle? Putus cinta tu sakit tapi eloklah tu, hidup ni perlu diteruskan. Jangan lupa jemput kalau menjadi.” Hani mengusikku sekaligus memberi kata-kata berunsur nasihat.
Aku mengemam bibirku, senyum di bibir cuba ditahan namun gagal. “Doakan aku, Hani,” perlahan aku berkata.
Hani mengangguk dan menepuk bahuku dengan perlahan. “Mestilah! Kau kan kawan aku!”
Jadi lepas ini kena bagi hint dekat Aidan minta dia lamar aku jadi kekasih dia ke? Nampaknya geng lunchku pula yang tak sabar nak tengok aku adakan kenduri makan nasi minyak. Haha.
Usai kembali ke meja kerjaku, telefon pintarku berbunyi.
Aku lihat nombor yang naik di skrin telefon. Nombor ini lagi…
“Hello? Apa awak nak ya? Dah berkali-kali call nombor saya ni dah kenapa?” Tak pasal-pasal aku nak naik angin. Kalau sebelum ini mungkin aku malas nak layan tetapi hari ini aku mahu tahu siapakah yang asyik menelefonku.
Senyap.
“Jangan sampai saya report nombor awak ni kerana mengganggu saya!” Aku mengugut si pemanggil di talian dengan nada tegas.
Kedengaran deruan nafas dari si pemanggil.
“Elle.”
Hampir terlepas telefon dari peganganku. Dia?
Wow...setelah hampir 3 bulan. Akhirnya ada update baru.
Terima kasih kepada yang setia menunggu bab baru Her Reckless Heart ni.
Harap korang suka dengan bab baru ni! 💓
Semoga seketul linaellenia ada masa nak update bab seterusnya! 😗
No comments:
Post a Comment