BAB 26
AKU MENGUCAPKAN terima kasih kepada Farah sebelum dia berlalu meninggalkan aku dan Sheera. Sheera pandang aku dan aku pandang Sheera. Kemudian masing-masing tertumpu ke arah jambangan bunga ros merah tersebut.
“Beruntung kau Elle! Untunglah ada boyfriend bagi bunga. Aku ni siapalah nak bagi bunga,” Ujar Sheera sebelum dia buat ayat minta simpati.
Aku menjulingkan mataku. “Aku pun tak tahu siapa hantar. Kau ni…aku tak ada boyfriend lah!” Jawabku sambil cuba mencari jika ada sebarang kad terselit di celahan jambakan bunga ros tersebut.
“Eleh, yelah tu. Kau ni sajalah nak berahsia.” Sheera membuat muka dan mencebirkan bibirnya.
"Nak berahsia apa…" Belum sempat aku habiskan ayat, suaraku mengendur.
Kad tersebut merupakan kiriman dari seseorang yang kalau boleh aku tak mahu terima apa-apa. Langsung.
"I'm sorry, Elle. I still love you. From Eddie Afzan," Kad berwarna krim dirampas oleh Sheera lalu dia membacanya.
Aku terdiam tanpa kata.
"Boyfriend kau ke?" soal Sheera selepas dia selesai membaca kad itu.
"Ex, dia tu bekas teman lelaki aku." Kalau boleh aku pun tak mahu mengaku Eddie itu bekas aku.
Melopong mulut Sheera.
"Nohh, ni kes ex-marka gila talak la ni…" Getusnya.
Aku ketawa, rasa kelakar bila loghat utaranya terkeluar.
"Entahlah, dia nak buat jejak kasih kot," Aku berkata dengan sinis. Apa bendalah si Eddie ni fikir. Ingat aku ni mudah digula-gulakan ke?
Sheera pula bantai gelak.
"Hang ni Elle, nak buat lawak pulak. Ish, awatlah ex hang ni. Better hang jangan layan kalau dia nak mintak get back," Sheera memberi pesan berbaur amaran.
Aku menggeleng.
"Tak ada pasal lah aku nak berbaik semula dengan dia. Kita orang perempuan ni kena reti nilai mana intan dan mana satu kaca,"
Lagipun…hatiku sudah ada pilihan yang lain. Lagi helok dari bekas kekasih lama. Cuma aku mungkin masih teragak-agak. Risau jika pisang berbuah dua kali.
“Haa, sungguhlah…” Sheera mengangguk tanda setuju dengan kata-kataku.
Aku belek jambangan bunga itu dengan satu perasaan menyampah. Cantik, tapi sayang bukan dari orang yang aku harapkan. Sebaliknya dihantar oleh seseorang yang sudah lama aku buang dari ingatan. Mungkin ada berapa ketika sebaris nama si dia ada aku fikirkan dan sebut tetapi bukan untuk mengharap sebaliknya untuk mengenang memori yang pernah tercipta antara kami berdua yang lama kelamaan menjadi satu rasa benci untuk diingati semula.
“Sudahlah Elle, toksah nak mengenang cinta lama tu, jangan nak jadi gila talak sama!” Jambangan tersebut dirampas oleh Sheera dari peganganku.
“Sayang je, bunga ros ni dahlah cantik. Sekuntum dua ni bukan murah kan? Yang segar punya pulak tu,” Gumam Sheera sambil tangannya menyentuh beberapa kuntum jambangan bunga ros tersebut.
“Hang ambiklah, Sheera. Aku tak hadap pun bunga ni,” Aku terus jalan untuk ke pantri. Tertangguh pula gara-gara pemberian seseorang yang tidak diundang.
“Woi tunggulah, bunga ni macam mana?” Panggil Sheera dari belakang.
“Buang atau sedekahkan dekat semua staf,” Selamba aku jawab dengan kuat.
Kebetulan di kawasan menghadap ke pantri sunyi tanpa sesiapa jadi tak adalah kot orang lain memasang telinga mengenai hal pemberian bunga tersebut. Kecuali kalau ada yang bawa mulut dan pasang telinga. Aku mengangkat bahu sebagai tanda malas hendak ambil kisah.
Kopi segera jenama Nescafe aku capai dari rak yang bersusun segala jenis minuman segera yang ada. Air panas dimasukkan dari air penapis Coway. Tangan mengambil pula sudu dan bekas gula. Sambil itu fikiranku menerawang ke arah sebaris nama yang masuk ke dalam mimpi tidurku pada sehari yang lalu.
Semalam Aidan ada memberi mesej di WhatsApp, bertanya seperti kebiasaan. Aku juga bertanya kepadanya. Kami berbual seperti selalu. Aku juga tak menyebut tentang dia masuk dalam mimpi, nanti apa kata dia pula.
Aku hela nafas, dan satu senyuman kecil terbit dari bibirku. Ada rasa rindu bertandang di dalam hatiku ini. Tiber. Haha. Mungkin hatiku sudah bersedia untuk terima Aidan? Aku sentuh sebelah pipiku, senyuman masih terukir.
“Sengih apa tu, Elle? Berangankan marka mana pulak ni?” Tegur Sheera yang baru saja masuk ke dalam pantri.
Spontan aku menaikkan tangan kananku ke atas dada. “Apa ni, terkejut aku dibuatnya!” Aku buat nada seolah mahu marah.
Sheera tergelak sebelum mendekatiku untuk mengambil mug yang ada di rak atas. Kami berdua menikmati rehat yang sekadar beberapa minit sebelum beredar kembali ke tempat kerja masing-masing.
*****
SEDANG AKU fokus untuk mengemaskini jadual dan segala dokumen berkaitan dengan klien terkini syarikat kami, telefon pintar milikku bergetar. Aku akan tukar ke mode vibrate supaya tidak mengganggu ketenteraman rakan sekerjaku.
Aku menghentikan kerjaku sebelum menggerakkan tetikus dan menekan save pada dokumen dan software Project Management yang dikhaskan untuk memantau projek sedia ada dalam bahagian kami.
Sekali lagi telefonku bergetar. Aku terus ambil dan lihat skrin yang tertera nama pemanggil. Aidan.
Automatik aku jadi bersemangat hendak menjawab.
“Assalamualaikum,” Salam diberikan olehku.
“Waalaikumsalam,” Suara garau Aidan menerjah ke pendengaranku. Indah sekali.
Aku senyum walaupun pastilah Aidan tak nampak tingkahku pada waktu ini. Kali ini kali pertama Aidan menjawab salamku, kerana kebiasaannya kami akan mengucapkan hello dan hai. Dan sepanjang aku mula berkenalan dengan dia memang aku tak pernah persoalkan akan agamanya, tengok raut wajah Aidan pun memang nampak seperti orang putih tulen. Dahsyat betul seorang Elle Nadirah ini. Nasiblah Aidan ini orangnya bukan orang yang tidak baik, kalau tidak mungkin boleh jadi kes lain.
“Are you busy?” Tanya Aidan.
“Tak sangat,” jawabku dengan senyuman masih tak lekang dari bibir.
“Nak keluar lunch together? Or are you having lunch with your co-workers?” Satu ajakan dan pertanyaan diajukan oleh Aidan.
“Okey je.” Rasanya kalau aku keluar lunch dengan Aidan tak jadi masalah bukan? Aku bertanya dalam hati.
“Alright, tunggu saya ambil ok? No compromises ok? Don’t be stubborn, dear.” Ujar Aidan dengan pesanan berbaur arahan.
Aku menggeleng. “Uh-uh. Bila masa saya degil?” Sengaja aku ingin menduga.
“You are, Elle. Just a bit stubborn but being an adorable darling at the same time,” Aidan berkata dengan suara garau yang dileretkan, membuatkan aku berasa asyik sendirian.
Dasar lelaki bermulut manis, ada udang di sebalik mee goreng! Hatiku menjerit dalam keriangan.
“Ceh, awak makan gula ke Encik Aidan?” Aku cuba bergurau. Tapi senyuman masih tak hilang dari wajahku.
“Absurd! Gula itu manis, tapi saya bercakap yang jujur,” balas Aidan dengan nada seolah mahu serius. Tapi setelah itu aku dengar tawa maskulin darinya.
“Sweet talker! Shuuh!” Aku buat-buat seperti nak halau dia.
“Jangan macam tu, dear. Okeylah, jumpa nanti ok? Miss you.” Aidan mengucapkan dua baris ayat itu di hujung percakapannya.
Aku termalu sendiri. Miss you? Miss you too…bisikku dalam hati.
Panggilan ditamatkan dan aku masih merenung skrin telefon pintar. Hmm, jadinya lunch date atau lunch yang biasa-biasa saja? Aku mengusap daguku, mahu cuba menganalisis tentang perasaanku terhadap Aidan.
Suka? Suka. Jatuh hati? Ya? Sayang dan cinta? Kedua-dua rasa itu mungkin sudah berputik. Tak tahu baru atau dah lama. Tapi setiap kali aku berjumpa atau menghabiskan masa dengan Aidan, pasti aku rasa tenang dan bagaikan masa berlalu dengan pantas bila semuanya berlaku.
Kalaulah perhubungan antara kami berdua akan ke peringkat seterusnya, apakah jaminannya? Adakah kekal atau untuk sementara saja? Aku dan Aidan, seorang di bumi Malaysia dan seorang lagi di bumi England. Perbezaan budaya? Mungkin tidak ketara kerana dia mempunyai darah keturunan orang Melayu, cuma mungkin ada perbezaan sedikit kerana Aidan dibesarkan di luar negara manakala aku pula sememangnya anak jati Melayu yang membesar dengan budaya orang Melayu.
Aku buka galeri gambar dalam telefon pintar kepunyaanku. Aku pandang gambar aku dan Aidan berswafoto semasa kami keluar pada hari hujung minggu baru ini. Ketika itu kami bergambar di dalam kafe dan awalnya aku sekadar mahu menangkap gambar suasana dan makanan di kafe itu sebagai kenangan.
“Why don’t we take a photo?” Terngiang suara garau Aidan memberi cadangan.
Aku terus saja bersetuju tanpa berfikir panjang. Aku berikan telefon pintarku kepadanya. Aidan mengalihkan tubuhnya supaya dia menghadapku walaupun kami dipisahkan dengan meja sebagai jarak antara kami berdua.
“Smile, dear,” Aidan menyuruh aku senyum.
Aku lihat ke arah skrin telefon pintarku yang sedang menunjukkan imej kami berdua. Aku mengukirkan senyuman sambil tangan naik membetulkan tudung, risau senget ke apa. Nanti tak cantik pula gambar. Biasalah orang perempuan ni, semua nak elok belaka.
Aidan mengambil gambar kami berdua dengan berbagai gaya. Kejap ada yang blur, ada yang nampak macam kami sedang candid dan juga ada gaya aku sedang merenung Aidan di depanku. Sempat mata kami bertembung sebelum aku beralih lalu memandang ke arah lain.
Walaupun untuk seketika tapi mampu membuat jantungku mengepam darah dengan kuat. Aku terasa seakan kekurangan oksigen pada waktu itu.
Rasa gugup pun ada. Haih. Kacak betul Aidan Harrison ni.
“ELLE?”
“Elle? Helloo?” Aku kembali sedar dari lamunan kerana terdengar seseorang memanggil namaku.
Kelihatan Kamelia sedang memerhatikan tingkahku, dia siap bercekak pinggang lagi. Kedua belah keningnya terangkat.
“Eh Kay, ada apa?” Aku tunjuk sengih pada Kamelia selepas bertanya padanya.
“Jom lunch, macam biasa kan? Aku datang sini terus sebab tadi tengok last seen kau pukul 8 pagi tadi.” Balas Kamelia.
Selepas itu aku pun baru teringat yang aku masih tidak membuka aplikasi WhatsApp. Selalunya aku akan buka kerana kebiasaannya aku akan membuka mesej dari group geng lunchku.
“Sorrylah, Kay. Ada kerja sikit lepas meeting pagi tadi.” Kataku dengan rasa bersalah kerana buat orang lain menungguku.
“Tapi kan, aku ada lunch dengan kawan lain harini. Sorry again, Kay.” Aku menyambung lagi, teringat yang aku akan keluar dengan Aidan tengahari ini.
Kamelia mengangkat bahunya. “I see, tak mengapalah kalau macam tu. Oh, ni keluar lunch dengan boyfriend baru ke?” Sempat lagi Kamelia cuba mengorek rahsia dariku. Sebelah keningnya terangkat dengan gaya ingin tahu.
Aku tersipu lalu sekadar beri senyum kepadanya.
“Okay, apa-apa pun. Aku doakan yang baik-baik untuk kau. Walaupun kau tak cerita, aku sebagai antara kawan kau akan selalu support kau dari belakang.” Ujar Kamelia dengan panjang sebelum dia menepuk bahuku seolah tanda memberi semangat kepadaku.
Aku pandang Kamelia dengan rasa terharu. “Thanks Kay,”
“No hal lah. Kalau jadi kahwin, jangan lupa jemput.” Kamelia mengenyitkan matanya sebelum ketawa perlahan.
Aku ikut ketawa. “Ada-ada jelah kau ni, Kay.”
“Manalah tahu kan. Kau ni bukan boleh sangat, karang tahu-tahu hantar kad jemputan terus!” Getus Kamelia dengan nada mahu mengusik.
Aku buat-buat tak faham dan tunjuk muka selamba. “Mengarut jelah kau ni!”
“Haa yalah tu. Ni nasib aku yang cakap, kalau si Dilla ni mahu meriah satu ofis dia canang pasal kau ada pakwe baru!” Kamelia jeling aku dan mengungkit tentang kawan kami yang seorang lagi, Dilla.
Aku mengangguk kerana memang betul pun. Kalau si Dilla yang datang menegur untuk ajak aku keluar lunch dengan geng kami, kalau tak silap haribulan memang dia orang nombor satu akan kecoh akan aku selain sahabatku yang bernama Raisha Ameena atau mesra dengan panggilan Meena.
“Enjoy your lunch date,” Pesan Kamelia sebelum berlalu untuk kembali bahagiannya semula.
Aku menarik nafas sebelum tangan naik menepuk pipiku. Nampaknya selepas ini pasti aku akan kena soal siasat dengan geng lunchku. Selama dua tahun ini, mereka memang antara kenalan paling rapatku di tempat kerja dan banyak perkara kami berkongsi sama ada suka atau duka. Kecuali…tentang hubungan aku dari segi bab percintaan, yang ini aku memang agak berahsia dengan mereka.
Berbaki lagi 15 minit sebelum masuk waktu rehat tengahari aku isi dengan memeriksa jadual progress projek terkini sebelum aku bersiap sedia untuk keluar makan dengan Aidan. Semakin dekat waktu, semakin aku rasa tak sabar untuk menemui dia.
Kamera di dalam telefon pintar aku buka untuk membetulkan tudung bawal warna peach yang aku pakai pada hari ini. Setelah berpuas hati, aplikasi tersebut ditutup dan aku capai beg tangan sebelum bangun meninggalkan ruang kerjaku.
*****
“HAI,” Aku sapa Aidan setelah masuk ke dalam keretanya. Sebaik saja Aidan sampai di perkarangan bangunan yang menempatkan pejabat aku bekerja, terus aku berjalan ke arah keretanya.
“Hello dear, assalamualaikum,” Aidan mengalihkan pandangannya padaku. Senyuman terukir di bibirnya, sekali dengan lesung pipit di kedua belah pipinya.
“Waalaikumsalam,” jawabku sekaligus senyum ke arahnya.
Aidan memulakan pemanduannya menghala ke tempat yang ingin dia bawaku untuk makan tengahari.
Sempat juga aku mengintai dia yang sedang memandu di tempat duduk pemandu. Hari ini Aidan memakai seluar slack warna hitam dan baju kemeja warna putih, rambut hitamnya pula kemas dengan sapuan gel rambut. Kacak seperti selalu. Baru sehari dua tak jumpa tapi ada rasa macam lama benar tak berjumpa. Itu belum lagi cerita pasal aku berjumpa dia di dalam mimpi. Manis tetapi dalam masa yang sama kelakar bagiku.
“Senyap je dear? Okey tak ni?” Suara Aidan membuatkan aku sedar dari lamunan sendiri.
“Okey je, awak nampak kacak harini.” Pujiku tanpa segan. Mahu test si dia di sebelah.
Aidan ketawa. “Harini saja? Hari lain tak kacak ke?” usiknya.
Aku mengetap bibir, suka betul Aidan ni mengusikku. “Kacak jugak, hari-hari kacak, puas?” aku menjegilkan mataku tanda geram.
Dia sambung ketawa. Ketawa pun maskulin. Haih. Aku pandang Aidan dengan rasa yang tak mampu ditafsirkan, antara separuh memuja dan suka.
“Alhamdulillah, dear. I am handsome for you only, okay?” Masih dengan nada mahu mengusik, Aidan mengenyitkan sebelah matanya ke arahku sebelum kembali fokus pada pemanduannya.
Ah, sukanya! Wajahku menghangat kerana kata-katanya itu. Tak sedar yang aku sendiri senang digula-gulakan bila bersama Aidan. Apa yang dia lakukan aku akan terima dan memberikan macam-macam reaksi.
Bab 26 updated! Sekarang update pun sebulan sekali nampaknya, haha.
Tapi aku target supaya Her Reckless Heart dapat dihabiskan dalam atau sebelum Ogos sebab cerita ni dah lama sangat. Cerita ni mula pada Ogos 2021 dan masih berjalan jadi tahun ni aku berazam nak siapkan supaya aku boleh mulakan atau sambung tulis cerita lain pulak.
Doakan aku ya? 😚💖
No comments:
Post a Comment