“KAU sihat?” Aku bertanya khabar dengan Meena. Seperti yang aku janjikan, aku menelefon Meena untuk berbual panjang di waktu malam. Sambil membaringkan badan di atas katil, aku melayan perbualan antara kami berdua.
“Sihat je, weekend ni aku balik Taiping kejap sebab adik aku nak balik jumpa ibu dengan ayah.” Beritahu Meena kepadaku.
Aku sedia maklum kerana Meena dan adiknya masih tinggal di Ipoh. Meena dengan kerjayanya manakala adik perempuannya sedang belajar di universiti swasta di bandar itu. Pernah juga sewaktu aku masih sedang belajar di peringkat ijazah, aku rajin mengikut Meena pulang ke Ipoh memandangkan persahabatan kami akrab. Keluarganya mengenali aku dan keluargaku juga mengenali dirinya.
“Lama juga eh aku tak datang Ipoh,” Terkenang akan kenangan semasa di zaman universiti, aku pernah ke Ipoh, Perak.
“Betul tu, masa kita study kau rajin ikut aku balik.” Sahut Meena sekaligus mengingatkan aku bahawa masing-masing sudah membawa hala tuju selepas tamat pengajian.
Aku mengiakan kata-katanya.
“Eh apa kata kau datang sini pulak? Asyik aku je turun KL.” Cadang Meena dengan teruja.
“Nice juga tu. Lama aku tak keluar negeri ni. Asyik lepak belah sini je kan.” Aku bersetuju dengan cadangannya.
“Sini pun banyak je port tourist dengan port makanan best-best!” Meena menjual segala modal yang ada dengan harapan aku ikut setuju dengannya.
“Okey, nanti aku datang sana. Tapi, kena tengok jadual aku dulu,” Aku mencongak tarikh, hari dan bulan yang akan datang. Aplikasi Calendar di dalam telefon pintar aku buka siap-siap.
“Amboi, gaya macam kau sibuk ala pak menteri!” Meena menyindir di dalam talian..
Aku ketawa. “Takdelah, tapi kena tengok jugak kot aku sibuk dengan projek. Sekarang tengah ada ongoing project.”
“Fine, tapi kalau dah ada tarikh beritahu aku okey? Senang aku nak sort jadual aku sekali,” Sempat Meena memulangkan paku buah keras kepada aku.
Aku menjulingkan mata. “Ceh.”
Meena ketawa dalam talian. “Eh tadi kau keluar dengan member yang mana satu? Member geng lunch kau ke?” Soal Meena dengan tiba-tiba. Meena memang sudah kenal dengan geng lunchku kerana pernah berjumpa dan lepak sekali.
Aku terdiam, tak menyangka yang Meena akan bertanya tentang kejadian pada waktu siang tadi. “Oh, bukan…” Meleret suaraku menjawab.
“Ke cinta baru? Manalah tahu kan?” Tebak Meena tanpa sengaja
Aku mengigit bibir. Tebakan dari Meena memang mengena. Aku jadi teragak-agak hendak menyusun kata-kata sebagai jawapan. Nak berdalih atau berterus terang? Tapi aku dan Aidan masih tak declare sebarang hubungan yang lebih istimewa. Sekadar kawan istimewa yang aku sendiri tak pasti sedalam mana istimewa itu.
Kalau dengan Meena, aku memang tak berahsia dengan dia. Masing-masing akan beritahu apa-apa perkara. Cuma bila aku berkenalan dengan Aidan, aku jadi sedikit berahsia dengan sahabat baikku sendiri.
Baru sedar ke, Elle? Hatiku bertanya.
“Elle?” Panggil Meena dari dalam talian. Pasti dia hairan mengapa aku dari tadi mendiamkan diri.
“Aku keluar dengan kawan lelaki.” Jawabku dengan jujur. Kalau dengan Meena, aku memang tak dapat sembunyikan apa-apa perkara. Tahu-tahu aku dah beritahu kepadanya.
“Ohh! Sampai hati kau, Elle! Kenapa tak kabo? Bukan ke aku ni sahabat dunia akhirat kau?” Meena mula berdrama, siap terkeluar loghat bahasa Peraknya. Aku pun dah masak benar dengan perangai sahabatku yang seorang ini.
“Ya…aku tahu kau sahabat dunia akhirat aku. Aku sebenarnya berkawan dengan dia je. Tapi…”
“Tapi apa?” Meena tak menyabar, pasti aura nak dengar gosip tu kuat.
“Aku rasa macam suka la jugak dengan dia tu.” Selepas meluahkan pada Meena, terasa hangat wajahku. Malu agaknya. Bantal peluk di sisi aku peluk dengan erat.
“Fulamak Elle…kau dah tertangkap rasa suka dengan kawan kau tu eh?” Usik Meena.
“Tapi aku risaulah, Meena.” Luahku dengan kerisauan dalam diri ini.
“Kenapa pulak? Kan elok kau mengaku dengan dia tu. Lagipun dah tiba masa kau buka cerita cinta baru. Mana tahu inilah jodoh kau yang sebenar…”
Rambutku yang dibiarkan lepas aku belai dengan jari-jemariku. Kemudian aku pandang siling bilik tidur dan memikirkan kata-kata Meena tadi.
“Orangnya baik. Aku suka berkawan dengan dia. Tenang dan seronok bila berbual.” Aku menyambung lagi.
“So what? Pergilah confess dekat dia! Jangan tunggu, takut melepas je nanti.” Meena menyuruh aku jadi perigi cari timba pula.
“Hisy kau ni! Aku saja je cakap, tapi tulah dia pun anggap aku sebagai kawan istimewa dia.” Ada senyuman terpancar di wajahku tanpa aku sedar pada waktu ini.
“Eloklah tu, it’s time for you to be happy and in love again, babe. Aku pun nak cari jodohlah, sunyilah bila jadi single ni…” Meena berkata, lalu mengeluh tentang dirinya sendiri.
“Kau pun elok cari boyfriend, tiap minggu boleh pergi dating!” Aku berseloroh dengan nakal.
“Amin! Doakan aku!” Meena menyambut kata-kataku lalu terletus tawa darinya.
Aku juga ikut ketawa dan dalam diam aku juga mendoakan untuk Meena. Manalah tahu dan mungkin boleh ke peringkat seterusnya bersama pasangan masing-masing.
Kami berbual sehingga sejam sebelum masing-masing meminta diri untuk berehat. Elok aku baru menamatkan panggilan dari Meena, terdapat bunyi pesanan masuk di aplikasi WhatsApp.
Aidan: Good night and rest well, dear. Dream of me, eh? Assalamualaikum.
Sebaik saja membaca mesej darinya. Aku terus peluk bantal pelukku dengan rasa teruja. Rasa macam crush pula yang hantar mesej. Indah betul perasaan dalam hatiku di saat ini.
Aku menjawab salamnya dalam hati, lalu tanganku laju menekan keypad di skrin telefon pintar untuk membalas.
Elle: Good night, Aidan. You too, rest well. Waalaikumsalam.
Baris ayat agar aku mimpikan dia tu aku buat tak tahu. Segan, nanti macam melebih-lebih pula. Walaupun hari ini serba sedikit aku jadi jelas tentang tujuan masing-masing berkawan, aku masih ingin berhati-hati. Risau jika terlebih nanti entah-entah aku saja yang tergedik, tapi si dia pula masih tak pasti.
Pengakuan Aidan mengenai dirinya yang sebenar membuatkan aku terkejut. Namun dalam masa yang sama aku rasa gembira kerana Aidan jujur denganku.
Oh…tapi apa nama penuh Aidan ya? Tiba-tiba rasa ingin tahu. Padahal sudah berbulan lamanya kami berkenalan. Langsung tak terlintas dalam fikiranku untuk bertanyakan nama penuhnya. Awal dulu memang aku fikir namanya sekadar Aidan Harrison, tapi selepas Aidan membuka cerita tentang dirinya aku jadi ingin tahu akan nama penuhnya.
Nantilah tanya dia. Mungkin boleh tanya melalui telefon saja namun aku rasa elok kami bersembang secara bersemuka. Malam itu aku tidur dengan perasaan gembira dan berbunga-bunga dalam hati.
*****
SUASANA di kafe June De Nova agak ramai pada waktu tengahari. Aku dan geng lunchku sudah selesai makan, jadi masing-masing membuat keputusan untuk bergerak pulang ke pejabat semula.
Aku menawarkan diri untuk bayarkan jadi nanti kami tong-tong je. Tapi aku okey je nak belanja gengku. Bukan selalu, lagipun kami sudah biasa keluar makan tengahari sama-sama. Ada masanya keluar lepak selepas atau di luar waktu kerja.
“Nia, please refrain yourself. Can’t you see we are in the public space?” Telingaku menangkap suara milik seorang lelaki.
Ketika itu aku sedang beratur menunggu giliran untuk membayar di kaunter. Setelah mendengar suara itu, mataku terus mencari gerangan empunya suara.
Di sebuah meja yang sedikit jauh dari khalayak ramai, ada seorang lelaki bersama seorang wanita cantik dan dua orang kanak-kanak perempuan. Lelaki itu berpakaian kasual, baju t-shirt warna hitam berlengann pendek dan seluar jeans denim. Rambut hitamnya dibiarkan tanpa gel rambut, jadi nampak kerinting secara natural.
Pandanganku terpaku ke arahnya. Boleh tahan juga sepasang mata kepunyaanku meneroka ke arah lelaki itu. Sungguh kacak. Wajahnya seakan orang dari luar negara, bermata warna hazel dan mempunyai jambang yang dijaga dengan rapi.
Lelaki itu seakan perasan dirinya sedang diperhatikan, lalu dia mengangkat wajahnya. Dia menfokuskan pandangannya ke arahku. Satu senyuman menawan diberikan. Aku terkedu.
Eh Aidan? Bisikku dalam hati.
“Tengok apa tu, Elle? Dear? Are you alright?” Suara garau lelaki itu kedengaran. Aku tak berkutik, masih statik di tempat yang sama.
“Elle?” Tiba-tiba dia sudah berdiri di hadapanku.
Aku menapak ke belakang sedikit, terkejut dengan perubahan suasana ketika ini. Kini kami berdua berada di luar kafe June De Nova, seperti situasi ketika kami keluar pada hari ini.
“Elle, dear. Kenapa ni?” Soal lelaki itu dengan risau.
“Aidan?” Panggilku dengan sedikit kebingungan. Mataku tetap memandang dirinya yang tidak jauh dariku.
“Ya? Kenapa ni?” Riak wajahnya jelas kerisauan.
“Awak ke lelaki yang saya jumpa di kafe June De Nova tu? Sebelum kita kenal?” Terus aku bertanya. Dahiku berkerut.
Aidan mengangguk. “It seems you are dreaming of our first unofficial meeting with each other, ya?”
Aku mengangguk. Tiba-tiba aku ketawa. Boleh pula mimpi aku mimpi tentang kejadian yang sudah lama berlalu. Aku sendiri dah lupa.
“Kelakar ke, dear. Hmm?” Aidan pandang aku dengan wajah tak puas hati.
Aku menggeleng. “Tak sangka pula sampai saya termimpi pasal benda ni. Betullah awak yang minta saya mimpikan awak. Rupanya mimpi ni mengingatkan saya tentang pertemuan yang lagi satu sebelum kita kenal betul-betul.” Aku pandang Aidan dengan senyuman di bibir.
“Me too, tapi ingatkan mimpi kita kahwin ke apa. Rupanya mimpi yang ini.” Aidan ketawa lalu kepalanya tergeleng.
Terasa satu getaran di dadaku setelah mendengar kata-kata dari Aidan. Wajahku pun merona kemerahan. “Suka buat lawaklah awak ni!” Aku mengerling ke arahnya. Dalam hati Tuhan saja yang tahu apa perasaanku ketika ini.
Aidan mengenyitkan mata, wajahnya beriak nakal. “Apa salahnya? Kata-kata saya itu boleh menjadi satu doa, tahu tak dear?”
Aku menghela nafas, cuba meredakan perasaan di dalam hatiku. “Aidan…jangan bagi saya perasan sorang-sorang, nanti kalau saya terjatuh hati dekat awak macam mana?”
Sudahlah aku dah mengaku dengan sahabat baikku, Meena bahawa aku memang ada rasa suka kepada Aidan. Kalau Aidan pun berterusan mengusik, mahu hati dan perasaanku semakin suka dan bergolek ke arahnya.
Kami duduk di sebuah bangku, suasana bertukar lagi ke suasana di sekitar sebuah tasik. Pelik mimpi malam ini, siap boleh bertukar tempat pula.
“Then, open your heart for me. Boleh? And I will do the same, because Elle, your presence in my life is impactful and world shattering.” Nadanya bertukar serius. Matanya menatap wajahku dengan satu perasaan yang aku tak dapat ungkapkan.
Terus jantungku berdegup dengan kencang. Aku pandang Aidan yang sedang berada di hadapanku. “You always have your ways with words.” Dasar peguam, mereka kan pandai mengatur kata-kata.
“Because I am a lawyer?” Keningnya terangkat. Wajahnya seakan ingin senyum kerana bibir seakan ternaik sedikit.
Aku terkedu. Dia baca fikiran aku ke? “Ada orang berkata, seorang peguam ini pandai berkata-kata, tutur mereka membuatkan semua yang mendengar boleh terdiam atau terpesona. Dan mereka juga boleh manipulasi dan menipu. So, Aidan, betul ke tidak?” Aku cuba beralasan.
Aidan menggeleng sebelum mengukir satu senyuman. “Nak mengelak ya, dear? Ok, sebagai seorang lawyer, memang betul kami pandai berkata-kata, memberikan hujah dan sebagainya. Tapi what I am saying is always the truth. Trust me, dear. Apa yang saya puji dan kata kepada awak adalah satu kebenaran.”
Aku diam sambil meneliti wajahnya. Elle, apa yang kau cuba nak buktikan? Terang-terang Aidan dah mengaku dia mahu kau bukakan pintu hati untuk dia, hatiku berperang dengan diriku sendiri.
“Aidan…”
Tiba-tiba bunyi alarm membantutkan aku dari meneruskan kata-kata.
Huh? Alarm?
*****
AKU terjaga dari tidur, kedengaran bunyi alarm datang dari telefon pintarku. Dengan malas aku meraba sekitar meja sisi yang ada di sebelah katil. Telefon pintar dicapai, lalu aku menutup alarm tersebut. Setelah itu aku bangun dari pembaringan. Mata yang dipejam aku cuba buka dengan perlahan.
Kemudian aku baring semula dan pandang ke arah kipas di siling yang terpasang di dalam bilik. Aku menggosok wajahku dengan perlahan. Kebingungan. Boleh pula aku bermimpi bertemu dengan Aidan dalam mimpi.
Aku menggelengkan kepala sebelum ada segaris senyuman di bibirku. Itulah kau, Elle. Sekarang sampai dah masuk dalam mimpi pula si Aidan itu. Aku baring di katil untuk beberapa minit sebelum bergerak untuk menunaikan kewajipan sebagai seorang muslim.
*****
MESYUARAT mingguan di pagi hari Isnin berlalu seperti biasa. Memandangkan projek laman web Syed and Associates sudah di peringkat seterusnya, ada kemungkinan bos besar, Encik Nazri merancang untuk menambah projek baharu adalah tinggi. Pastilah perlu ada keuntungan untuk diambil kira kerana syarikat kami ini tidak besar mana tetapi dengan projek yang ada pastilah portfolio syarikat akan lebih berpotensi menarik ramai klien baharu.
Selepas tamat mesyuarat antara semua jabatan, giliran unit kami mesyuarat untuk update progress projek klien kami. Bahagian programming sudah mula update progress dan kami dapat lihat interface laman web yang direka mengikut spesifikasi yang klien mahukan.
Aku menyelak buku nota untuk menyemak senarai tugasan yang perlu diambil kira sebelum diupdate ke dalam dokumen dan software Project Management supaya memudahkan dan tidaklah tertinggal perkara penting apabila ketua bahagianku ingin melihat perkembangan yang seterusnya.
“Lepas ni kitorang akan mula try connect database dengan try call out dan command codes yang dah siap ada dalam terminal code.” Suara Encik Joe sedang bercakap mengenai peringkat seterusnya menjengah ke pendengaranku.
“Noted, Joe.” Balas Encik Khairil, ketua bahagianku. Dia sedang fokus melihat design interface yang sedang Encik Joe terangkan di skrin TV LCD di dalam bilik mesyuarat.
“Sheera, when is our next meeting with our client?” Encik Khairil pandang Sheera yang duduk menghadap beliau. Aku pula di sebelah Sheera sekadar menjadi pendengar dan pemerhati.
“Around next week, but by online meeting di Google Meet.” Tenang Sheera menjawab. Perangai gila-gilanya tidak kelihatan. Sungguh komited dan serius dengan projek yang sedang kami kendalikan.
“Alright, don’t forget to remind our client about it. Around this week you can also start to remind them.”
“Noted, Encik Khairil.” Sheera mencatat sesuatu di dalam buku notanya.
Encik Khairil dan Encik Joe sebagai ketua bahagian Projek Management dan bahagian Programming kembali fokus terhadap projek. Kami yang berada di dalam bilik mesyuarat itu sekadar mendengar dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap ketua masing-masing. Aku mencatatkan perkara penting yang perlu diambil kira.
Perbincangan tersebut tamat pada pukul 10 pagi. Keluar dari bilik mesyuarat, aku letak buku nota serta laptop ke ruang kerjaku sebelum aku melangkah ke ruang pantri untuk membancuh minuman panas. Di samping itu aku mahu meregangkan badan setelah lama duduk di dalam bilik mesyuarat.
“Elle, tunggu! Kau nak ke pantri jugak, kan?” Sheera melaung dari mejanya.
Langkahku terhenti dan aku pusingkan badanku. “Haah.” Jawabku.
Sheera terus berlari anak ke arahku. “Ok, jom!”
Aku dan Sheera berjalan menuju ke pantri. Sedang kami berdua berjalan, tiba-tiba seorang staf wanita dari bahagian HR mengangkat tangannya dan melambai ke arah kami berdua. Dia berjalan ke arah kami berdua.
“Elle!” Panggil wanita itu. Kalau tak silap namanya Farah.
“Ya? Ada apa Farah?” Aku pandang Farah dengan hairan. Ada apa-apa ke sampai orang HR cari aku ni?
Aku baru perasan Farah sedang memegang sejambak bunga ros merah dan menyerahkan kepadaku. Aku pun menyambutnya dengan perasaan yang berbaur. Aku memberikan pandangan penuh persoalan kepada Farah.
“Tadi aku nak turun bawah, tiba-tiba ada delivery guy ni datang dan minta berikan dekat Cik Elle Nadirah,” Jelas Farah dengan senyuman lebar.
Aku sekadar pandang jambangan bunga tersebut. Siapa yang beri? Aidan ke? Tanpa sedar senyuman terbit dari bibirku.
“Ohh! Boyfriend Elle kot!” Sampuk Sheera di sebelahku.
“Hisy, mana adalah!” Aku cepat-cepat menafikan.
Belum declare lagi mana nak datangnya boyfriend tu? Desisku dalam hati.
No comments:
Post a Comment