BAB 18
AKU TURUN dari bilik tidurku untuk bersiap keluar ke tempat kerja. Sebelah tangan kiri menggalas beg laptop dan tangan kanan pula memegang beg tangan. Hari ini aku ingin datang awal sedikit untuk menyiapkan kerja. Lagipun hari ini team bahagian aku dan team programming ada pertemuan dengan klien untuk perbincangan projek.
“Elle, mari makan dulu. Mama ada goreng mee dan kuih sikit ni,” Panggil mama dari dapur. Bau masakan untuk sarapan pagi menusuk ke hidungku.
“Mama bungkuskan je boleh?” Aku menyahut sambil sebelah tangan mengagau kunci kereta di dalam bekas kunci yang ada di atas rak kasut bersebelahan dengan pintu rumah.
Eh? Mana dia kunci kereta aku ni? Rasanya memang ada dalam bekas kunci seperti selalu. Beg laptop yang aku sandang diletakkan ke tepi rak kasut terlebih dahulu. Ada kunci rumah, dua gugus kunci kereta milik abah dan mama dan kunci motor kepunyaan abah.
“Abah!” Panggilku.
Kedengaran abah menyahut dari dapur. Pasti abah sedang bersarapan. Jam sudah menginjak ke pukul 7:50 pagi.
Abah selalunya makan awal untuk sarapan. Kalau ada hari mama penat hendak memasak, abah akan keluar belikan sarapan di kedai mamak atau mana-mana warung atau kedai yang buka di waktu awal pagi. Rutin yang sudah lama dilakukan olehnya sejak dahulu walaupun sudah bersara dari anggota unit beruniform. Kalau pada hari minggu ada masanya abah akan mengajak kami satu keluarga bersarapan di luar.
“Kunci kereta Elle mana, bah?” Aku berjalan ke dapur pula untuk bertanya.
Mana tahu kalau abah ada perasan.
“Bukan ke Elle selalu letak dalam bekas kunci tu?” Abah menyoal aku pula.
Aku angguk tapi tangan naik menyentuh kepala yang bertutup dengan tudung. Naik runsing jadinya.
Selalunya dalam waktu sebegini aku dah gerak nak ke office. Perjalanan dari rumah ke tempat kerja adalah dalam masa 20 ke 25 minit. Itu pun kalau tak sesak lah. Tapi mujurlah rumah keluargaku dengan tempat kerjaku tak jauh, cumanya masalah bila duduk di kawasan yang jalan rayanya memang jalan utama untuk pengguna pelbagai kenderaan lalu untuk ke destinasi masing-masing.
Aku bertanyakan soalan yang sama kepada mama.
“Mama nampak tak kunci kereta Elle?”
Mama diam untuk seketika. Mungkin sedang fikir untuk memberikan jawapan.
“Bang, bukan ke malam tadi Elisa keluar? Katanya nak pergi jumpa kawan dekat McDonald’s.” Mama pandang ke arah abah. Abah sedang duduk di meja makan manakala mama pula sedang menyediakan bekal sarapan untuk aku bawa ke tempat kerja.
Abah mengangguk. “Rasanya dia drive kereta kakak tu semalam, mungkin lepas dah balik tu dia terlupa nak letak semula kunci kereta kamu ke bekas kunci tu.”
Aku menepuk dahi sendiri.
“Dia tak beritahu dengan Elle pun dia pinjam kereta,” Aduku kepada abah dan mama.
Abah dan mama sekadar menggelengkan kepala. Faham benar akan perangai anak bongsu mereka.
Aku dalam diam mengutuk adikku yang seorang itu. Amboi, sejak dah mula cekap bawa kereta ni pandai dah keluar sendiri. Kalau tidak dulu dia akan merayu agar aku bawa dan hantar dia ke mana-mana tempat dia hendak pergi.
Sekarang dia sedang cuti semester, tapi pagi-pagi sebegini memang tidaklah dia akan bangun awal. Bertuah sangat kalau dia bangun awal.
“Kunci kereta spare ada tak? Abah tak rasa dia bangun lagi.” Abah bertanya setelah melihat aku mendiamkan diri.
“Ada, tapi dalam bilik…tapi…” Aku lihat jam yang aku pakai di pergelangan tangan. Lagi empat minit nak ke pukul 8 pagi.
Tempat kerjaku akan mula beroperasi pukul 9 pagi. Tiada masalah tetapi aku rasa malas pula hendak naik mencari barang bila sudah bersiap dan turun dari bilik. Karang jenuh berpeluh, sudahlah bersiap untuk bersolek pun makan masa. Gaya simple pun mestilah nak nampak ada seri bila nak ke tempat kerja.
“Kalau abah hantar boleh?” Aku pandang abah dengan menunjukkan satu senyuman yang paling comel. Buat modal kata orang.
Abah dan mama ketawa besar melihat telatahku.
*****
HENDAK dijadikan cerita, memang pagi tadi abah yang menghantar aku ke tempat kerja. Rasa macam budak pergi sekolah pun ada. Tapi benda ini akan menjadi satu memori yang lucu dan indah buat aku jika aku kenang semula di masa yang akan datang.
Jalan raya sesak juga tetapi tidaklah lama sangat menunggu, trafik masih terkawal. Abah pun rilek sahaja ketika memandu. Sempat kami berbual mengenai isu semasa. Sejak aku telah meningkat dewasa, tidak banyak perkara aku kongsikan dengan abah. Sebaliknya aku banyak berkongsi dengan mama, hal ini mungkin kerana peningkatan umur dan perbezaan gender, membuatkan aku lebih senang bercerita dengan mama.
“Elle, sebagai seorang bapa, abah berbangga dengan apa yang Elle lakukan sekarang ni, Abah cuma harapkan anak abah ini dapat jaga abah dengan mama bila kami dah lanjut usia nanti.” Ujar abah dengan satu senyuman yang bagiku jarang ditunjuk.
Abah seorang yang tegas dan senyumannya bukan selalu diukirkan. Tapi seorang anak kenal akan ibu dan bapa mereka sendiri. Tegas abah itu bukannya bermakna dia tidak sayang tapi ada masanya dia mahu mendidik kami menjadi yang lebih baik.
Tidak semena aku rasa sayu. Jarang sekali abah berkata seperti itu. Abah tak banyak bercakap. Orangnya jenis bercakap hanya bila perlu tetapi dalam setiap kata-katanya ada makna.
Kepala ditundukkan. Aku cuba menahan air mata yang hendak jatuh pada waktu itu.
“Abah ni…Saja tauu nak buat kakak sedih.” Ada masa aku membahasakan diriku sebagai kakak dan juga sebagai Elle.
Abah cuma ketawa.
“Kakak ni, nampak je tough tapi cengeng jugak. Macam mama kamu tu,” Sempat lagi abah mengusik aku.
Aku menjeling abah.
Seorang Elle Nadirah bagi abahku: cengeng tapi berlagak kuat. Aku jarang buat perangai, aku tidak manja seperti Elisa tetapi nama pun seorang anak dan lagi sebagai anak perempuan pula tu, pastilah ada masanya aku akan berkelakuan di luar karakter. Namun semua ini hanya terhad untuk keluargaku sahaja.
“Tapi tak apa, nanti cengeng dengan suami bila dah kahwin...” Seloroh abah dengan nada mengusik..
“Eh abah ni, ke situ pulak!” Baru nak rasa sedih terus terhenti apabila abah berkata begitu. Terasa muka membahang dengan tiba-tiba. Malu. Hal mengenai nikah dan kahwin ini jarang dibualkan antara aku dan abah.
“Abah tahu kamu mungkin tak nak bercinta lagi selepas apa yang sudah berlaku. Cuma jangan kerana seorang lelaki, kamu membenci yang lain. Bunga-bunga di taman larangan abah semua cantik dan baik budi pekertinya. Abah pun mengharapkan ada yang berani memetik dan berani nak berhadapan dengan abah.” Nada abah bertukar serius. Pesanan yang mungkin aku sendiri tidak pernah terfikir akan terkeluar dari seorang abah yang bagiku tidak banyak bersuara.
Aku? Terkedu dengan abah. Lain macam betul abah pagi ini.
“Baik abah. In Shaa Allah. Elle tak membenci, cuma serik je.” Aku mengalihkan pandanganku ke arah luar tingkap, ingin meredakan perasaan segan yang ada apabila soal jodoh dibangkitkan.
Teringat aku apabila di waktu aku masih bersama dengan Eddie. Abah kenal dengan Eddie ketika aku memperkenalkan dia kepada semua ahli keluargaku di majlis konvokesyen anjuran universiti kami pada dua tahun yang lalu. Ketika itu semuanya kelihatan baik dan elok dan tidak terlintas di fikiranku bahawa suatu hari nanti, perhubungan yang terjalin dan direstui itu akan berakhir dengan perpisahan.
Kalau sudah suratan takdir…siapalah aku untuk menghalang semua itu dari berlaku. Namun apabila hati sudah berbolak balik dan perasaan itu sudah tiada, bukankah jalan terbaiknya ialah dengan melupakan dan teruskan kehidupan dengan cara sendiri?
*****
PERTEMUAN antara pihak syarikat kami dengan firma guaman Syed and Associates dijadualkan pada hari ini. Kali ini aku tak ikut untuk menyertai pertemuan dengan klien kerana dah cukup orang. Lagipun nak bawa team programming sekali jadinya eloklah aku tak pergi, nanti jadi ramai pula. Team kami yang ikut untuk mewakili adalah Encik Khairil, Sheera dan Jun Hui. Team programming pula bawa 3 orang wakil juga seperti team kami.
Sheera sebelum tu dah tergedik-gedik nak cuci mata anak owner firma tu. Aku siap beri amaran padanya lagi jangan nak naik ulat bulu sangat sebab kalau tak silap orangnya sudah beristeri. Hal ini diberitahu sendiri oleh Dato’ Syed Arman ketika kami datang kali pertama ke firma tersebut. Walaupun secara spesifiknya Dato’ Syed Arman yang beritahu kepadaku kerana anaknya datang bertanyakan sesuatu kepadaku.
“Alaa nak cuci mata je pun,” Sheera mendengus. Bibirnya sudah ditarik panjang.
Aku cuit pinggang dia.
“Ingat Sheera, laki orang tu. Bukan orang bujang…”
“Iyolah, Cik Elle oii.” Sheera cuit pinggangku pula sebagai membalas perbuatanku.
Tinggallah aku dengan lagi beberapa orang dalam team di pejabat pada hari itu. Semasa waktu lunch di waktu tengahari, aku bersama rakan sepejabatku seperti kebiasaan. Gosip juga menjadi satu rutin dan kemestian untuk mengisi masa makan dan rehat kami.
Kamelia membuka cerita mengenai persiapan perkahwinannya yang tinggal lagi sebulan. Tidak lama lagi dia akan bertukar ke status yang baharu. Alhamdulillah. Masih ada hubungan yang berputik di institusi pengajian berakhir di jinjang pelamin jua.
Aku, Hani dan Dilla awal-awal dicop oleh Kamelia untuk datang ke majlis malam berinai. majlis pernikahan serta majlis bersanding. Kata Kamelia dia mahu kami bertiga ambil tuah pengantin, konon nak kami yang lain cepat-cepat ikut jejak langkahnya untuk menamatkan zaman bujang.
Dilla paling kecoh, dia memang beria nak datang, supaya dapat cari jodoh segera. Aku dan Hani sekadar senyum dan melayan karenah Dilla. Kamelia pun sama.
“Korang.” Aku meletakkan sudu dan garpu ke pinggan tanda sudah selesai makan.
Kamelia, Hani dan Dilla terus pandang ke arahku. Wajah mereka jelas menunjukkan tanda tanya.
“Sebenarnya aku dah break dengan boyfriend. Dah jadi ex dah pun.” Aku membuat pengumuman tergempar. Tak tahu kenapa laju je bibirku meluahkan. Sebagai seorang yang banyak menyimpan rahsia, tidak banyak perkara peribadi aku kongsikan kepada orang lain. Mungkin sudah tiba waktunya…
“Astaghfirullah!”
“Oh my!”
Mulalah geng lunch aku kecoh, memecahkan kesunyian sejak tadi. Reaksi masing-masing membuatkan aku hendak ketawa tetapi aku tahan. Wajah mereka jelas terkejut dengan pengumuman yang aku sampaikan. Mereka tahu yang aku ada seseorang sejak mula kami berempat berkenalan. Namun, aku kan jenis tak banyak bercerita, jadi nak update pun jarang sekali.
“Lama betul kau simpan rahsia ni,” Tergeleng Kamelia dibuatnya.
Hani dan Dilla mengangguk setuju dengan kata-kata Kamelia.
“Berapa lama dah korang putus ni?” Soal Dilla yang biasa dengan lagak kepochinya.
Aku cuba kira dengan jari. “Dah 7 bulan?” Balasku dengan selamba.
Pap! Bunyi meja ditampar..
“Biar betul kau ni Elle! Pandai betul kau simpan rahsia dengan kitorang.” Dilla pula menggelengkan kepalanya. Suaranya hampir naik satu oktaf kerana terkejut atau teruja dengan ceritaku.
Hani sejak tadi diam. Aku pandang dia. Dia pandang aku.
Pasti dia sedang memikirkan tentang sesuatu. Keningnya terangkat sebelah.
“Chill lah korang. Aku okey, awal tu je macam sedih. Yelah bercinta nak dekat tiga tahun kot,” Aku cuba menenangkan mereka.
“Lain macam kau ni. Perahsia sangat sampai dah beberapa bulan break baru nak bagitau kitorang,” Kamelia memberikan pendapatnya.
“Aku bukan tak nak bagitau tapi tulah benda dah jadi. Biar jelah.” Aku sendiri dah move on dengan perhubungan tersebut. Jadi, memang aku rileks saja. Dah sampai masa untuk aku beritahu status aku yang terkini. Gituu…
Sudahnya mereka meneruskan perbualan dengan mengorek hal sebenar. Kamelia dengan Dilla paling beremosi bila aku menceritakan hal sebenar, sampaikan masing-masing menepuk meja makan dengan kuat. Hani sekadar diam dan mendengar. Terjadilah adegan berpelukan sesama kami berempat di restoran nasi kandar itu.
Kemudian ada anney mamak restoran tu tengok kami semacam dari kaunter cashier sewaktu kami hendak membayar bil, jadi masing-masing tayang buat muka selamba je.
*****
SELESAI MAKAN tengahari, kami berempat pergi ke surau untuk menunaikan kewajipan masing-masing sebagai muslim. Lepas dah solat pun sempat kami mengambil masa untuk bersiap semula dengan bergosip lagi.
Apabila masuk ke pejabat semula, telefonku berdering. Nasib pada waktu ini aku baru saja nak masuk kerja semula. Sebab aku akan tukarkan ke mod senyap sebelum menyambung kerja.
Nombor tidak dikenali.
016-23XXXXX
Spontan aku mengangkat kening. Siapa pula yang telefon? Scammer? Zaman sekarang bukan boleh, macam-macam taktik orang boleh pakai untuk menipu orang lain. Tak pasal aku jadi risau jika ada orang nak lakukan perkara yang sedemikian kepada aku.
Sekali lagi nombor tersebut naik di skrin telefon.
Namun aku sekadar membiarkan telefon itu berdering. Aku menunggu beberapa minit, kalau pemilik nombor itu menelefon aku sekali lagi.
Melihat tiada lagi panggilan dari nombor itu, aku bersiap sedia untuk menyambung kerja. Telefon diset kembali kepada mod senyap supaya tidak terganggu dengan perkara lain.
Author's Note:
Selamat membaca!
Jumpa next week, In Shaa Allah!
No comments:
Post a Comment