BEBERAPA bulan sudah pun berlalu. Hari-hari yang dilalui aku habiskan dengan kerja di pejabat selain di rumah. Projek laman web syarikat RZ Holdings sudah bermula dan aku bertugas untuk track setiap task agar mengikut jadual yang telah dirancang oleh kami mengikut proposal yang disediakan sebelum ini.
Selama itu jugalah aku seolah-olah sudah melupakan pengkhianatan yang telah dilakukan oleh Eddie terhadapku dan hubungan kami.
Dan aku juga tidak menangis langsung. Itu yang penting! Prinsip aku itu tetap aku pegang sehingga kini.
“Elle,” Namaku dipanggil.
Aku yang sedang mengemaskini jadual projek terkini di Microsoft Excel terus menghentikan kerjaku.
“Ya?” Aku lihat Kamelia sudah berada di hadapan tempat kerjaku.
“Weekend ni kau free tak?” Tanya Kamelia tiba-tiba.
Aku mengerutkan dahiku. Wajahnya aku pandang dengan riak kebingungan.
“Kau tak baca ke mesej dalam group WhatsApp geng kita?” Kamelia menunjukkan telefon pintarnya di depanku.
Serta-merta aku mencari telefon pintarku di meja kerjaku. Aku menekan butang di tepi telefon pintarku. Gelap.
“Ops! Sorrylah weh, bateri kong!” Aku memberitahu Kamelia dengan sengihan.
Sebelah tangan terus mencari wayar untuk mengecas telefon yang sudah kehabisan bateri. Mati-mati aku ingat malam tadi aku dah cas sepenuhnya sebelum hendak pergi ke tempat kerja pagi ini.
“Haa okey. Nanti jangan lupa reply mesej dalam group!” Pesan Kamelia sebelum meninggalkan tempatku.
Aku hanya tunjuk ibu jari tanda okey. Tunggu ajelah bateriku penuh secukupnya baru aku melayan mesej-mesej mereka di aplikasi WhatsApp.
Kamelia merupakan staf di bahagian Human Resource (HR) di syarikat kami bekerja jadi tempat duduk kami dipisahkan mengikut jabatan masing-masing. Tapi disebabkan kami jenis boleh masuk jadi sampai terciptanya satu kumpulan khas untuk geng kami di dalam WhatsApp.
Kami pun sudah hampir dua tahun kenal sedari aku mula masuk bekerja dengan NJ Solutions.
Selepas termenung untuk seketika, aku kembali fokus terhadap kerja yang terganggu dek kerana Kamelia yang menegurku.
*****
DI WAKTU lewat petang selepas aku sampai di rumah, telefon pintarku berdering. Nama Meena menghiasi skrin telefonku itu. Aku yang sedang baring di atas katil mencapai telefon di tepi bantal sebelum menolak butang hijau.
"Assalamualaikum Elle," Salam diberi oleh Meena.
“Waalaikumsalam Meena.” Jawabku.
Senyuman di bibirku terukir.
“Sihat ke weh?” Meena bertanya. Aku membalas pertanyaannya.
“Ada apa kau call ni. Tunggulah malam sikit Cik Meena oii,” Sengaja aku berkata begitu. Padahal aku tidak kisah pun lagipun dah lama dia tidak menelefonku, kami sekadar berinteraksi di dalam laman sosial seperti Instagram dan Whatsapp.
“Alaa nak call pun tak boleh ke?” Meena seolah-olah mahu merajuk.
Aku ketawa.
“Okey, haa apa hal kau call aku ni?”
“Aku cadang nak datang rumah kau Jumaat ni. Boleh?” Beritahu Meena akan cadangannya.
“Kau nak datang sini?”
“Yup, aku lama tak jumpa kaulah. Manyak rindu ooo!” Meena mengajuk gaya apek cina tua bercakap.
Aku diam buat seketika. Sedang berkira-kira di dalam kepala. Hmm hujung minggu ini ya…
“Eh sekejap, aku tengok jadual aku,” Ujarku sambil hendak beracah-acah melihat jadualku di dalam aplikasi Calendar di telefon pintarku.
Sempat aku dengar suara Meena berkata, “Macam busy benor kau ni!”
Sekali lagi tawaku terhambur.
Namun mesej yang masuk dari kumpulan WhatsApp geng lunchku buatkan aku terus membuka aplikasi tersebut.
Kamelia: @Elle, hello cik kak. Jangan lupa reply mesej!
Aku scroll mesej-mesej dari awal. Kamelia, Hani dan Dilla bercadang hendak keluar lepak hujung minggu ini. Semua mengutarakan cadangan dan pendapat masing-masing. Senarai lokasi hendak melepak pun sudah diberikan oleh mereka. Mereka mention namaku di dalam group memandangkan aku seorang sahaja yang tidak masuk untuk menyelit untuk membalas mesej-mesej tersebut.
“Alamak…” Aku mengigit bibirku.
“Kenapa tu Elle?” Suara Meena yang kehairanan menyapa pendengaranku.
“Alamak sis, member office ajak aku keluarlah weekend nanti,” Aku memberitahu Meena dengan nada kesal.
“Ohh…” Itu sahaja jawapan Meena. Kecewa.
Aku juga diam untuk seketika. Kemudian aku menaip sesuatu di dalam group geng lunchku.
Elle: Hey korang. Aku onzz je nak lepak mana-mana pun. Tapi, okey tak kalau aku ajak member aku? Dia datang dari Ipoh. Korang okey ke tak?
Beberapa ketika kemudian, member-memberku di dalam kumpulan itu memberikan respon mereka.
Kamelia: Aku okey je! The more the merrier gitu! *crazy eyes emoji*
Hani: Aku pun okey je! Asalkan geng perempuan hehe.
Dilla: Samalah aku pun okey. Macam Hani cakap, girls only!
Aku ikut senyum, gembira dengan respon yang diberikan oleh gengku.
“Meena, kau nak tak join aku dengan geng office aku weekend ni? Kesian kau dah plan nak datang sini,” Aku cuba memujuk Meena.
Faham yang sahabat baikku yang seorang itu sudah lama tidak berjumpa denganku. Masing-masing sibuk dengan kerjaya dan komitmen yang mengambil masa dan ruang yang ada.
Lama Meena mendiamkan diri. Sehinggakan aku pun risau kalau-kalau sahabatku yang seorang itu dah nak merajuk.
“Geng office kau okey ke kalau aku join? Seganlah pulak,” Setelah itu Meena berkata.
“Don't worry, mereka semua okey je. Aku dah tanya dengan dia orang dah tadi,” Aku memberikan jaminan supaya Meena dapat menerima ajakanku. Bukan senang hendak berjumpa memandangkan kami berada di negeri yang berlainan kini. Zaman belajar dahulu memang kami berkepit macam belangkas, pergi ke mana-mana pun tetap bersama.
Rindu betul!
Meena kemudiannya memberikan kata setuju. Aku rasa nak melompat kegirangan. Gembira sahabat baik akan datang ke sini setelah lama tidak berjumpa.
“Nanti apa-apa aku update dengan kau ya?” Pesan Meena sebelum menamatkan perbualan kami di talian.
Usai itu aku membalas mesej-mesej geng lunchku di WhatsApp.
Elle: Nanti kawan Elle join kita. Thanks korang!
Aku gerenti korang akan masuk air dengan dia :)
Kamelia, Hani dan Dilla membalas mesejku dengan emoji serta sticker yang comel dan lucu di WhatsApp.
Kami saling berbalas mesej memandangkan aku masih belum membuat pilihan untuk destinasi tempat melepak kami pada hujung minggu ini.
Setelah waktu menghampiri ke waktu maghrib kami berempat menghentikan perbualan kami di group WhatsApp untuk menunaikan tanggungjawab yang satu itu.
*****
HARI SABTU. Aku dan Meena sudah bersiap-siap hendak keluar pada waktu pagi itu. Meena sampai ke rumahku pada malam semalam menaiki ETS dari Ipoh. Aku menjemputnya di Stesen KL Sentral sebelum kami pulang ke rumah dengan kereta yang kupandu.
Abah dan mama sudah maklum akan kedatangan sahabatku itu setelah aku khabarkan kepada mereka beberapa hari yang lalu. Abangku Eilman tidak pulang memandangkan dia tinggal di apartment yang dibelinya di sekitar bandar Kuala Lumpur. Sibuk betul abangku yang seorang itu. Elisa pula pada minggu itu tidak dapat pulang memandangkan dia mempunyai aktiviti dan tugasan di universiti.
Adikku yang seorang itu merengek seperti budak kecil apabila aku beritahu yang aku dan Meena akan keluar berjalan-jalan pada hujung minggu ini. Dirayunya agar aku mengambilnya di kolej kediaman universitinya sebab hendak mengikuti kami.
Aku pesan agar Elisa mementingkan tugasannya dahulu sebelum hendak keluar berjalan-jalan. Tapi macamlah aku tak pernah buat keluar jalan-jalan walaupun tugasan menimbun tetapi aku sengaja berkata begitu sebab tak mahu Elisa mengabaikan pelajaran dan tugasannya.
“Elok-elok keluar tu, kakak,” Sempat abah memberi pesan sebelum aku dan Meena keluar dari rumah.
“Baik abah,” Aku kucup tangan abah dan mama sebelum melangkah menuju ke garaj kereta. Meena pula bersalaman dengan mama sebelum mengekorku dari belakang.
Kamelia sudah memaklumkan tempat pertama yang bakal menjadi tempat untuk kami melepak pada hari ini. Kafe yang sama yang pernah kami lawat untuk makan tengahari pada beberapa bulan lepas. Katanya dia suka suasana di kafe itu. Aku, Hani dan Dilla hanya mengikut sahaja perancangannya.
“Bestnya nak keluar dengan kau!” Ujar Meena di sebelah setelah aku memulakan pemanduan ke destinasi pertama kami.
Aku sengih. “Aku pun!”
Perjalanan ke kafe itu tidak memakan masa yang lama, cuma kena cari tempat parking di sekitar deretan bangunan rumah kedai kerana hari ini merupakan hari cuti hujung minggu jadi tempat kosong untuk parking hampir penuh.
Setelah berpusing beberapa kali di sekitar bangunan rumah kedai itu aku akhirnya dapat satu tempat kosong untuk memarkir kereta yang kupandu. Berpeluh juga nak mengintai tempat kosong di sekitar kawasan itu. Fuh!
“Aku dah sampai ni,” Aku memberitahu mereka apabila telefonku berdering. Mereka juga sudah sampai ke kafe itu. Aku dan Meena bergerak meninggalkan tempat letak kereta untuk ke kafe yang dijanjikan.
Nasiblah tidak jauh jarak antara tempat aku memarkir kereta dengan lokasi kafe itu.
June De Nova, kafe yang menjadi tumpuan ramai orang kerana review foodie-foodie di laman sosial. Bila tempat-tempat sebegini sudah viral sehingga ke laman sosial pastilah ramai orang hendak berkunjung ke tempat tersebut untuk merasai pengalaman sebelum masing-masing buat posting ke laman sosial mereka. Trend zaman sekarang…
Masuk sahaja ke kafe June De Nova, nampak pengunjung bertambah dari hari-hari yang kebiasaan. Walaupun baru sekali datang ke kafe itu sejak beberapa bulan yang lalu, aku dapat melihat kemeriahan kafe itu pada hari hujung minggu.
“Elle!” Suara Dilla membuatkan aku mencari kelibat geng lunchku.
Muncul Dilla dari aras atas di dalam kafe itu. Aku melambaikan tanganku. Aku dan Meena naik ke tingkat dua kafe itu. Dilla menyambut kami berdua dan kami sama-sama menuju ke meja yang telah dihuni oleh Hani dan Kamelia. Kelihatan masing-masing bergaya memandangkan hari ini hari cuti jadi adalah nampak semua berfesyen dengan gaya solekan yang pelbagai.
“Inilah kawan aku dari universiti, Raisya Ameena,” Aku terus memperkenalkan Meena kepada mereka yang lain setelah mengambil tempat duduk.
“Panggil je Meena,” Ujar Meena dengan sebuah senyuman di bibirnya.
“Hai, aku Hani,” Hani memperkenalkan dirinya.
“Kamelia here!” Kamelia melambaikan tangannya.
“Adilla, but call me Dilla,” Dilla pula berkata selepas itu.
Kami mula berbual untuk sesi ice breaking supaya tidak janggal. Yalah bukan senang nak terus masuk bila dalam awal perkenalan, aku risau Meena dan mereka yang lain tak boleh nak berinteraksi dengan baik ke apa.
“Jomlah order makan!” Kamelia bersuara, buku menu diagihkan kepada kami yang lain tanpa disuruh.
Aku melihat senarai menu yang ada. Memandangkan awal pagi tadi sebelum bersiap untuk keluar mama masak nasi lemak dan sambal sotong basah sebagai menu sarapan, jadi aku sekadar ingin mencari dessert atau menu yang ringan sahaja.
Tiba masa untuk memesan order aku memilih waffle dengan topping coklat serta aiskrim vanilla dan air ais kosong.
“Aik, makan yang itu aje ke sis?” Hani menanyaku selepas pelayan kafe itu berlalu pergi.
“Kitorang dah breakfast berat awal pagi tadi,” Aku memberitahunya.
Hani, Kamelia dan Dilla mengangguk kepala secara serentak.
“Asal Meena order macam orang kebulur?” Nada Dilla seolah-olah memerli dalam gurau.
Meena ketawa.
“Aku teringin nak makan western food lah!” Jawabnya tanpa berselindung.
Terus mereka bertiga ketawa.
Aku pula sekadar menggelengkan kepalaku. Selamba betul si Meena ini! Memang boleh masuklah dengan geng pejabatku.
Kami meneruskan perbualan dan sesi berkenalan antara mereka bertiga dan Meena bersambung.
*****
“LEPAS NI kita nak ke mana pulak?” Tanya Meena setelah kami selesai makan dan minum. Semua sudah tersandar di kerusi masing-masing dek kerana kekenyangan. Aku pula sedang melayan Instagram kerana ingin membuat repost Instagram Story yang ditag oleh geng kami.
Aku sekadar tukang repost sahaja, jenis malas hendak buat kiriman sendiri. Aku adalah sejenis yang tak suka menunjuk sangat tentang kehidupan peribadiku di laman sosial.
Namun memandangkan kawan-kawanku yang lain sejenis social butterfly jadi aku ikutkan sahaja rentak mereka. Lagipun sudah masak sangat dengan tingkah mereka.
“KLCC!” Sepasang mata milik Dilla sudah bersinar-sinar.
Spontan aku mengangkat wajah. Eh? KLCC?
“KLCC?” Soalku. Hairan.
“Last minute change, beb! Si Dilla nilah. Tadi sebelum kau sampai dia bagitau nak pergi lepak jalan-jalan dekat KLCC pulak!” Terang Hani sambil menunjukkan jari telunjuknya ke arah Dilla yang sudah tersengih.
Reaksi aku? Hanya angkat bahu. “Okey,”
Meena ikut teruja dengan perubahan plan kami pada hari ini. Dah lama kawanku yang seorang itu hendak ke KLCC. Walaupun sebenarnya sewaktu zaman belajar dahulu pernah pergi sekali tetapi biasalah keterujaan tetap ada jika diajak untuk ke tempat yang terkenal di bandar raya Kuala Lumpur itu.
Dia dan Dilla dua kali lima sahaja. Sudahnya kedua-duanya bagaikan budak-budak kecil yang mendapat lolipop! Excited nau!
Aku turun untuk membayar pesanan kami di kaunter yang terletak di tingkat bawah. Kali ini aku pula tukang bayar kerana Kamelia sudah pernah membayar ketika kami kali pertama datang ke kafe ini. Nanti tong-tong macam biasa.
Oleh kerana hari ini pelanggan di Kafe June De Nova ramai dari kebiasaan jadi aku terpaksa menunggu giliran dengan beratur di satu barisan yang menghala ke kaunter pembayaran.
Sedang aku menunggu, mataku dihalakan ke arah hujung sudut di kafe itu. Entah mengapa tetapi aku hanya memandang ke tempat duduk di situ. Ketika itu ada pelanggan lelaki dan perempuan yang sedang duduk menghadap diri masing-masing di tempat itu.
Hmm…kenapa ya? Ini merupakan kali kedua aku datang ke kafe ini setelah beberapa bulan yang lalu. Jadi aku tidak tahu mengapa aku terus terpandangkan tempat duduk itu.
Ah! Tak mengapalah! Mungkin aku teringin nak duduk di hujung ruang kafe itu.
“Cik?”
Cepat-cepat aku melangkah ke arah kaunter, tidak sedar yang barisan sudah susut dan tidak ramai lagi orang di hadapanku. Aku menunjukkan resit dan membayar jumlahnya.
No comments:
Post a Comment