Wednesday, January 17, 2024

Her Reckless Heart (Bab 34)



BAB 34


“BALIK kerja pukul berapa?” Aidan bertanya sebaik saja kami selesai makan tengahari.


“Pukul 6,” Aku menjawab sebelum menghirup air yang masih berbaki separuh.


Aidan membawa aku makan di sebuah restoran masakan Melayu. Suka betul dia dengan masakan Melayu. Katanya dia sudah terbiasa sejak berkawan dengan Tengku Zarul Izzudin yang dia kenal ketika di zaman universiti. Belajar makan masakan pedas membuatkan aku lagi kagum dengan dia.


“Nanti saya teman awak balik. Escort dari belakang,” Ujar Aidan selepas itu.


“Eh nanti susahkan awak pula.” Nanti pastilah jalan akan sesak kerana waktu itu merupakan waktu puncak. Lagi pun aku memang membawa kereta ke pejabat setiap hari.


“Risau ex awak datang kacau lagi,” Nada risau terselit dalam kata-katanya.


Aku senyum. “Rasanya tak kot. Kan awak dah beri amaran dekat dia?” Mustahil Eddie tidak rasa gerun dengan Aidan, seorang peguam berwibawa dan tegas dalam menegakkan keadilan.


I hope so. Tapi biar saya teman awak balik hari ini. Untuk ketenangan jiwa saya.” Dia merenungku dengan wajah sedikit tegas. Sinar matanya seolah meminta aku memahaminya.


Aku mengikut saja kata-katanya, tidak guna kalau membantah. Kami beransur untuk pulang ke pejabatku selepas Aidan membayar bil makanan dan minuman yang kami makan tadi. Dan aku tidak lagi bergaduh tentang siapa hendak bayar kerana Aidan sudah menegah dari sebelum ini. Aku sekadar seorang teman wanita yang keluar untuk makan saja, hal-hal lain dia akan uruskan.


Di dalam kereta, aku menulis mesej kepada rakan sepejabatku dan juga kepada Meena. Aku ingin menceritakan apa yang terjadi pada waktu tengahari tadi. Aidan pula fokus ke arah pemanduannya dan sekali-sekala dia berbual denganku.


Rata-ratanya memberi reaksi terkejut dan marah.


Meena: Tak guna betul! Nasib ada bf kau datang masa tu! 


Dilla: Weh! Nasib baik tak jadi apa-apa dekat kau!


Kamelia: Ralatnya sebab kitorang bertiga tak teman kau sampai bf kau datang!


Hani: Mujur Allah lindung kau, beb.


Aku membalas mesej mereka berempat.


Elle: Itulah, harapnya mamat tu tak berani datang ke ofis dah. Aidan (bf aku) dah bagi amaran dekat dia. Kalau tidak memang kena panggil polis sebab dia kacau aku.


Mereka memberikan emoji berbentuk love dan thumbs up.


Sedang aku ralit bermesej dengan mereka, ada bunyi telefon berdering. Aku pandang ke arah Aidan. Dia menjawab menggunakan bluetooth di media radio yang dihubungkan ke telefon pintarnya memandangkan dia sedang memandu. Keretanya berhenti kerana ada lampu isyarat merah di hadapan.


“Aidan? Where are you son?” Suara seorang wanita meniti di ruang panggilan.


Hi mum. Err… in Malaysia?” Teragak-agak Aidan menjawab.


What? Kamu biar betul? Mummy ingat kamu masih di London?” Suara mummy Aidan seolah terkejut.


“Err… dad tak beritahu apa-apa ke?”


Nope. Ni mummy dekat depan rumah kamu. Tak ada sesiapa menyahut pun,” Balas mummy Aidan.


Aku sekadar menjadi pendengar dan pemerhati. Terasa lucu melihat Aidan sedikit cuak dan berpeluh ketika menjawab panggilan dari mummynya ketika ini. Aidan mengerling ke arahku dan matanya mengecil. 


Aku tidak mampu menyembunyikan senyumku, lagi sikit tawaku akan meletus.


That’s it! I will fly to KL asap! Siap Aidan dengan daddy kamu! Kamu berdua komplot apa-apa ke ni?” Serkap mummy Aidan dalam talian.


“Mana ada!” Aidan menggeleng biarpun tidak terlihat oleh mummynya. 


“Mummy? Hello? I think the line is not good. H-hello?” 


Panggilan ditutup. Aidan baru saja menamatkan panggilan dari mummynya. Mataku membundar dan merenung dia di sebelah. Selamba betul dia ini!


I had to, dear. Nanti mummy siasat itu dan ini pula,” Bahunya terjungkit dan dia berkata.


“Bertuah sungguh awak ni! Tunggulah mummy awak datang dan kejar awak dekat sini!” 


Aidan gelak besar. “Don’t worry, saya dengan mummy okey je. Paling tidak pun dia akan pulas telinga saya.”


Tergeleng aku mendengar jawapannya. Nakal sungguh!


I think it’s time for you to meet my parents officially.”  Aidan mengenyitkan sebelah matanya.


Terkesima, aku diam tanpa sebarang suara. Seram sejuk pula mendengarkan kata-katanya.


“Jangan risau, mummy pasti akan sukakan awak.” Aidan memberi jaminan. 


Aku menelan liur dengan payah. Semoga mummy dan daddynya menerima diriku seadanya. Mujur urusan syarikat tempat aku bekerja dan firma guaman ayahnya sudah selesai. 


Aidan kembali memandu setelah lampu isyarat bertukar ke hijau. Aku pula masih mendiamkan diri. Fikiran sedang memikirkan situasi apabila aku dan keluarganya bertemu. Rasa macam serius benar, namun inilah langkah yang perlu aku hadapi. Sebelum ini Aidan sudah bertemu dengan keluargaku walaupun tanpa dirancang.


******



TAMAT waktu kerja, aku tidak melengahkan masa dan terus menyangkut beg laptop dan beg tangan. Sheera yang kebetulan lalu di ruang kerjaku siap mengusikku. “Tak sabar nak balik ke? Atau nak jumpa boyfriend?” 


Boyfriend escort nak hantar balik rumah,” Jawabku dengan wajah gembira.


“Untunglah!” Suara Sheera meleret.


Aku balas dengan sengihan. Orang tengah bahagia…


Ketika aku sedang berlalu di hadapan pintu utama pejabat, aku terserempak dengan Kamelia, Hani dan Dilla. Mereka terus mengajak aku turun bersama mereka. Ramai staf sudah pun mula beredar dari pejabat dan menunggu giliran untuk turun ke tingkat bawah. Ada juga yang turun menggunakan tangga di sebelah lif.


Masuk ke dalam lif, aku menerima mesej dari Aidan. Katanya sudah sampai.


“Kau okey nak balik sendiri?” Soal Kamelia setelah kami keluar dari lif.


“Ada orang nak teman balik.” Nadaku bersahaja ketika memberitahunya.


“Siapa?”


Belum sempat aku membalas, aku lihat bayang tubuh Aidan yang sedang berdiri di tepi tangga yang berdekatan dengan pejabat. Aku lihat dia sedang memegang telefon dan pandangannya tertumpu ke arah peranti itu.


Aku meminta diri dan berlari anak ke arah Aidan. Serentak Aidan mengangkat wajahnya. Aku memberikan senyuman paling indah kepadanya. 


“Lama dah ke awak sampai?” 


“Dalam setengah jam,”


“Itulah saya cakap tadi, kesian awak nak kena tunggu saya!” Sungguh aku tidak ingin menyusahkan Aidan. 


“Dah sayang, semua pun boleh.” Perlahan saja suaranya berkata namun mampu membuatkan degupan jantungku berubah rentak.


Mahu saja aku cubit dia, di depan pejabat juga dia hendak berkata sebegitu.


Aku menoleh ke arah kiri dan kanan. Di arah kiri, ada tiga individu yang aku kenal sedang mengintai aku dan Aidan. Siapa lagi kalau bukan rakan sepejabatku. Aku tidak jadi menoleh ke arah Aidan semula. Mata masih terfokus kepada Kamelia, Hani dan Dilla.


Ingatkan mereka sudah bergerak pulang. 


“Kenapa ni, dear?”


“Oh, saya ternampak kawan sekerja saya.” Balasku tanpa berselindung.


Dilla menaikkan tangan dan melambai ke arah kami berdua. Kamelia pula tersengih dan Hani seolah sedang sembunyi senyum. Aku memerhatikan gelagat mereka. Adakah mereka mahu aku memperkenalkan Aidan?


“Saya nak kenalkan kawan satu pejabat saya dekat awak. Boleh? Saya rapat dengan mereka.” Aku meminta pendapat Aidan. Manalah tahu dia tidak selesa dengan cadanganku ini.


Sure, kenapa tak boleh? So I can get to know them.” Selamba saja dia membalas. Riak di wajahnya langsung tidak ada tanda kurang selesa.


Aku memanggil rakan-rakan sepejabatku itu. Mereka melangkah ke tempat aku dan Aidan sedang berdiri. Aku memperkenalkan Aidan kepada mereka bertiga secara rasmi. Harap Meena tidak marah kerana aku tidak memperkenalkan teman lelakiku kepada dirinya dulu.


Paling-paling pun mungkin sahabat baik aku itu akan merajuk dan aku perlu memujuknya dengan menyuruh dia datang ke KL dan belanja makan.



*****



KAMI sampai di hadapan rumah keluargaku. Aidan memarkir keretanya di luar manakala aku masuk ke dalam kawasan rumah seperti kebiasaan. Jam sudah masuk ke pukul 6 lebih. Di luar rumah, aku nampak abah sedang membelek tanamannya, rutin sejak dia bersara selama tiga tahun ini.


“Assalamualaikum, abah.” Aku memberi salam sebaik saja keluar dari kereta.


Abah menghentikan kerjanya dan memusingkan badannya ke arah porch kereta. Kemudian abah pandang pula ke arah luar rumah. Aidan melangkah masuk dan bersalaman dengan abah.


“Marilah masuk, Aidan.” Ajak abah dengan ramah.


“Mana mama?” Tanyaku sambil mencari kelibat mama di dalam rumah. 


Aku mengambil duduk di sebuah set sofa untuk dua orang bersama abah. Aidan pula duduk di sofa sebelah yang kosong.


“Tadi katanya nak naik ke bilik,” Balas abah.


Aku mengangguk. Mungkin mama hendak berehat.

“Elisa keluar, melepak dengan kawan baik dia.” Abah berkata tanpa aku sempat bertanyakan tentang adik perempuanku, Elisa.


Aku menarik nafas dan memandang wajah Aidan sebelum dialihkan ke arah abah.


“Tadi Aidan teman Elle,” Aku terus membuka cerita.


Abah memandang ke arahku. Tanpa berlengah menceritakan apa yang terjadi pada waktu tengahari tadi. Aidan pula menjadi pendengar.


Abah menggelengkan kepala setelah mendengar ceritaku. “Abah tak sangka si Eddie sampai macam tu sekali.” keluhnya.


“Mujur saya sempat sampai sebelum Eddie sempat buat apa-apa.” Aidan mencelah.


Aku menunduk. Bila diingatkan semula, rasa takut menerjah diriku. Sungguh aku bersyukur kerana Aidan tiba di waktu itu. Kalau tidak… aku bukan mahu memikirkan yang tidak baik tetapi keadaan Eddie membuatkan aku seriau. Dirinya seperti orang gila talak. 


“Siapa yang datang ni?” Mama bersuara dari ruang tangga.


“Aidan, dia teman Elle balik.” Abah menjawab.


Mama muncul berpakaian solat. Dia duduk di sebelah abah. Aidan menegur mama dan mama membalas dan memberikan senyuman kepadanya.


“Alang-alang Aidan dah datang, apa kata makan malam je dekat sini?” Cadang mama.

“Kalau auntie dengan uncle tak keberatan, saya okey saja. Lagi pun duduk seorang ni, saya makan apa yang ada je.”


Tanpa segan-silu Aidan bersetuju dan sempat dia membuat kisah sedih. Keningku ternaik dan aku menoleh, memperhatikan saja dirinya yang duduk di sebelah. Amboi!


“Rezeki kamulah, Aidan.” Abah berkata seraya ketawa. Mama juga ikut ketawa.



*****



USAI Maghrib, aku turun ke bawah untuk membantu mama di dapur. Sebelum naik ke bilik tadi, mama ada menyuruh aku membancuh minuman jika aku selesai membersihkan diri. Masuk ke ruang dapur, aku terus mengambil jag dan botol air kordial untuk dibancuh.


Selesai membancuh air, aku membawa jag tersebut ke meja makan dan menghidangkan makanan dan masukkan nasi ke dalam bekas khas.


Sedang aku ralit menyusun atur pinggan dan mangkuk berisi lauk, ada seseorang berdeham. Bahuku ternaik, terus aku berpaling ke belakang. Aidan sedang berdiri tidak jauh dari diriku. Automatik aku jadi segan.


“Baru balik?” Aku bertanya.


Aidan mengangguk. Dia dan abah ke masjid yang tidak jauh dari rumah keluargaku. Sejuk mata memandang jejaka berdarah kacukan ini pulang dari solat berjemaah. 


“Dah siap hidang ke?” Mama muncul di ruang dapur. Aku terus pura-pura menyusun pinggan di sekitar meja makan. 


Mama terus memanggil abah dan kami berempat duduk untuk makan malam. Elisa masih belum pulang, katanya sedang melepak bersama kawan di pusat beli-belah. Sempat abah menitipkan pesan supaya pulang awal. 


Suasana makan malam senyap kerana masing-masing kelaparan. Ini merupakan kali kedua Aidan datang ke rumah dan kali ini dia makan bersama ahli keluargaku. Gayanya pun macam tidak kekok. Silap-silap dah macam penghuni rumah ini. 


Lagi sikit boleh jadi suami kepada anak tuan rumah ini. Eh?


Aku menggeleng, makin dilayan makin pelik angan diri sendiri.


“Elle? Kenapa? Tak sedap ke mama masak?”


Terus aku pandang mama, wajahku sedikit panas kerana tertangkap dek mama.


 “Eh tak adalah!” Kepala digelengkan.


Kantoilah kalau mama tahu anaknya sedang berangan tentang jejaka di sebelah abah. Si dia pun rilek saja makan nasi dan lauk yang dimasak oleh mama,


Mama tidak bersoal panjang dan perbualan tadi tamat begitu saja. Aku meneruskan suapan. Mata sempat menyinggah ke arah Aidan. Aidan juga membalas pandangan sebelum hujung bibirnya ternaik sedikit.


Cepat-cepat aku mengalihkan pandangan. Agaknya dia perasan ke aku sedang memikirkan tentang dirinya


____________________

linaellenia's Little Theatre
Mummy Aidan: Kesian anak aku, agaknya apalah dia makan dekat KL tu? :(
Aidan: /sedang enak makan malam dekat rumah bakal mertua/ 
Dato' Syed Arman (Daddy Aidan): ... sayang, sepatutnya you tanya I makan apa malam ni :(

Author's Notes:
Maaf kalau ada kekurangan dalam bab ini. Tak lama dah, nanti Elle akan berjumpa dengan parents Aidan pulak XD Lepas tu kahwin! :3
Doakan saya rajin update sampai bab akhir! Tak sabar nak habiskan Her Reckless Heart yang dah lama ongoing ni :(  Next step nak edit semua bab sebaik saja cerita ni habis ditulis.
ps: linaellenia's Little Theatre tu sekadar hiburan hahaha
xoxo, linaellenia.

No comments: